Thursday, April 3, 2014

Selingan Cerpen: Dia masih di sini



                                                      Dia Masih Di Sini        

                   Seingat aku, peristiwa itu sudah lama berlalu. Hampir lima belas tahun dahulu sewaktu kami berkenalan dengan secara tidak sengaja melalui seorang rakanku yang kebetulan bersahabat dengan rakannya. Ketika itu aku masih lagi mentah untuk memahami makna perasaan. Lebih tepat perasaan yang bermula daripada organ dalaman disebut hati terhadap seseorang yang berlainan jantina denganku.
                   Ketika itu aku baru sahaja melangkah ke alam sekolah menengah dan dia pula bakal menduduki peperiksaan SPM. Perbezaan umur kami yang sebanyak empat tahun itu langsung tidak membawa masalah kepadaku di saat dia menghulurkan salam persahabatan. Katanya, bersahabat biar seribu. Sewaktu aku mendengar katanya, aku tersenyum sesaat. Ah, ayat yang klise! Sejak hari itu, bermulalah episod kisah hidup kami yang masam-masam manis.
                   Setahun berlalu bagaikan tidak terasa. Dia sudah selesai menduduki peperiksaan SPM dan mula berhijrah ke kota untuk mencari pengalaman sementara menunggu keputusan diumumkan. Aku di kampung dan dia di kota, penghubung kami hanyalah surat. Maklum sahajalah, pada zaman itu telefon bimbit dan internet masih tidak sepopular sekarang. Di dalam suratnya, ayat-ayatnya terlalu indah untuk aku baca sehingga aku tergelak sendirian. Hai, bila pelajar sastera tulis surat memang bahaya. Ianya boleh mencairkan sekeping hatiku!
                   Bila sahaja dia mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, hubungan kami bagaikan berkubur tanpa nisan. Aku langsung tidak mendengar khabar beritanya. Juga tiada alamat untuk dihubungi apatah agi nombor telefon. Aku akhirnya pasrah dan mengaku bahawa hubungan persahabatan kami terputus begitu sahaja.
                   Selepas lima belas tahun, sungguh aku tak sangka yang aku akan berdiri di hadapannya. Pada saat aku diperkenalkan kepadanya, pandanganku menjadi kelabu. Beberapa kali mataku dipejamcelik, dia masih di situ. Berdiri dengan penuh keyakinan di hadapanku dengan senyuman yang masih sama. Dia langsung tidak berubah kecuali badannya yang dahulunya kurus kini menjadi lebih sasa. Beras murah?
                   “En. Azim, perkenalkan Dr. Sri Delima, pensyarah junior yang baru balik dari Nippon.”
                   “Selamat kembali ke Malaysia.”
                   Aku masih belum bersuara. Hanya mataku yang berkata betapa terkejutnya aku dengan dia di sini.
                   “Dr. Sri, kenalkan ini En. Tuan Azim, dia pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Bahasa. Mengajar Tamadun di fakulti ini.”
                   “Selamat berkenalan En. Azim,” kataku dengan senyuman yang agak kekok.
                   “Saya minta diri dulu. Saya ada kelas. Ada masa kita jumpa lagi,” katanya lalu melangkah laju dari pejabat pentadbiran fakulti.
                   Langkahnya aku hantar dengan pandangan sayu. Dia sudah lama tidak aku ketemui. Selama lima belas tahun ini, aku begitu berharap untuk berjumpa dengannya dan menyambung kembali talian persahabatan. Melihatkan pandangannya yang tidak bercahaya seperti lima belas tahun dahulu, melumpuhkan segala impian aku untuk kembali bersahabat dengannya. Tiba-tiba sahaja aku berasa senak di dada. Kadar degupan jantungku meningkat dengan kecerunan yang tinggi. Mengapa begitu? Adakah perasaan yang pernah berputik lima belas tahun dahulu kembali berbunga? Pada saat itu, barulah aku tahu bahawa si dia masih di sini. Aku memegang dada di sebelah kiri. Ya, dia di sini.     
            Setelah aku diperkenalkan dengan ketua-ketua jabatan, aku dibawa pula ke satu bilik. “Ini bilik Dr. dan ini kuncinya. Biasanya bilik pensyarah akan dilengkapi dengan sebuah meja, kerusi dan rak buku. Buat masa sekarang, pihak kami hanya boleh sediakan desktop untuk Dr. Saya akan semak dengan pihak IT samada peruntukan laptop untuk Dr ada atau tak. InsyaAllah, paling cepat Dr akan dapat dalam masa seminggu.”
            “Terima kasih Kak Wan. Apa yang ada ni dah cukup buat masa sekarang.”
            Aku duduk di kerusi dan bersandar. Tanganku menghidupkan komputer di atas meja namun fikiranku bukan di situ. Aku masih lagi mengenangkan pertemuan singkatku dengan Azim. Kenapa dia seolah-olah tidak mengenaliku? Kenapa kata-katanya seakan dingin? Aku tidak pernah berbuat salah kepadanya. Dia yang menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepatutnya aku yang bersikap dingin dan berlakon seperti sedang merajuk kerana ditinggalkan tanpa jejak. Ini terbalik pula. Kenapa? Apa yang sudah berlaku selama lima belas tahun terhadapnya? Kenapa tiada lagi sikap ramah terhadapku seperti dahulu? Biarlah. Mungkin dia mengejar masa kerana katanya tadi ada tuntutan tugas yang perlu dilaksanakan olehnya.
                        Sebulan selepas pertemuan dengannya di pejabat fakulti, kami bertembung lagi. Kali ini di kafetaria Kolej 9. Dia mengajakku makan bersamanya setelah mendapati aku hanya keseorangan pada waktu itu. Pucuk dicita, ulam mendatang. Aku nekad untuk mendapatkan penjelasan daripadanya.
            “Dah lama kerja di sini?” Aku bertanya untuk memecahkan kesunyian di antara kami.
            “Hampir tujuh tahun,” jawabnya ringkas.
            Kemudian aku diam dan dia lagilah diam. Entah bagaimana untuk memulakan perbualan berkenaan peristiwa yang telah lama berlalu. Tapi aku harus dapatkan jawapan daripadanya. Seperti pertama kali berjumpa dahulu, jantungku bagaikan tidak mengikut rentak asalnya lagi. Pantas. Seolah-olah pelari pecut yang ingin cepat sampai ke garisan penamat.
            “Saya minta maaf pasal dulu,” katanya dengan tiba-tiba.
            “Kenapa kita terputus hubungan? Saya ada buat salah?” Tanyaku dengan berani.
“Tidak. Sri tak salah apa-apa dengan saya. Keadaan yang buat kita terpisah.”
“Jadi, kita boleh terus bersahabat?”
Dia langsung tidak menjawab soalan itu tetapi hanya tersenyum pendek. Aku dapat rasakan dia menyembunyikan sesuatu dari aku. Tapi apa? Aku tidak percaya sekiranya dia tidak punya rasa yang sama sepertiku. Bukankan dia pernah meluahkan segalanya di dalam surat yang menjadi penghubung kami suatu ketika dahulu? Kami berpisah petang itu tanpa jawapan yang aku perlukan.
Sebulan selepas peristiwa aku makan bersamanya, kini aku bagaikan telah mendapat segala jawapan terhadap persoalan aku. Kesihatan aku sedikit terganggu dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Seorang rakan mencadangkan aku ke Pusat Kesihatan Universiti. Aku terus sahaja bersetuju. Setelah selesai melakukan proses pendaftaran di kaunter yang sepatutnya, aku terlihat Azimku bersama seorang wanita mengandung. Mereka kelihatan amat mesra. Tiba-tiba aku rasakan kepalaku yang sedia berat menjadi bertambah berat. Aku ingin rebah melihatkan mereka berdua. Setelah lima belas tahun menunggu, adakah ini balasannya terhadapku? Aku begitu setia menunggu. Aku begitu berharap agar suatu hari aku dipertemukan dengan dia dan kami boleh menyambung kembali apa yang terputus dahulu. Aku sentiasa berdoa semoga dialah jodohku. Malangnya penantian aku hanya sia-sia. Rupa-rupanya doa aku tidak dimakbulkan.
Dan hari ini, aku berada di rumah ibu bapaku. Aku perlukan suasana baru dan udara segar untuk melupakan kisah aku dengan dia. Ternyata hanya aku yang masih menyimpan dia di sini, di hatiku. Tetapi tidak baginya. Aku sudah lama dilupakannya.
Pada malamnya, aku diberitahu sesuatu oleh emak. Tentang kedatangan seseorang yang membawa hajat pada esok petang. Pada mulanya aku ingin menolak kerana keadaan hatiku yang masih belum pulih. Lagipun aku tidak pasti berapa lama masa yang aku perlukan untuk buang si dia dari sini, dari hatiku. Tetapi melihatkan kesungguhan emak, aku mengangguk. Tidak salah rasanya untuk mencuba. Malah yang paling penting, hati emak harus aku jaga.
Orang tua sedang berbincang di atas. Aku disuruh menemani anak terunanya di halaman rumah. “Kenapa tak naik ke rumah?” Tanyaku. Aku letakkan dulang yang berisi gelas air sirap dan mihun goreng di sisinya. Si teruna ini tidak naik langsung ke rumah sejak mula-mula sampai tadi. Kerjanya hanya membelek telefon bimbit di tangan.
Dia memandangku sepintas lalu dengan senyum manis di bibir. “Saja nak rasa angin petang di kampung ni. Di KL takkan dapat suasana macam ni,” katanya dengan ramah.
Aku menghulurkan sepinggan mihun yang dibawa turun bersama air kepadanya. “Rasalah. Mak yang masak.” Kataku sambil ketawa. Aku tak sangka yang dia turut ketawa. “Ingatkan nak cakap Sri yang masak,” katanya.   
“Eh, macam mana tahu nama saya?”
“Saya dah buat research.”
“Tapi saya tak tahu nama encik pun,” kataku pula.
Dia ketawa lagi. “Berencik-encik pula. Saya Nashriq.”
Aku mengangguk perlahan. Dia yang mula menyuapkan makanan ke mulut membuatkan aku diam. Biarlah dia makan dengan aman sebelum aku mula melakukan researchku terhadapnya. Setelah beberapa ketika menunggu, akhirnya dia meletakkan pinggan yang kosong ke dalam dulang. Dia mencapai pula gelas air sirap lalu diteguk sopan.
“Saya nak tanya sikit, boleh?” Aku memulakan perbualan.
“Banyak pun tak apa.” Balas Nashriq bersahaja. Aku pula yang hampir ketawa. Ah, hatiku seakan-akan memberi hint supaya berkawan dengannya.
“Mak saya cakap, Nashriq kenal saya. Betul ke?”
Dia hanya mengangguk.
“Tapi dari mana awak kenal saya?”
“Dari sinilah. Dari mana lagi.”
“Awak pernah tinggal di kampung ni? Tak pernah nampak pun.”
“Pernah. Tapi tak lama. Pertama kali saya jumpa awak… lebih tepat, terjumpa awak pada satu petang dan masa tu hujan lebat.”
“Hujan? Apa saya buat dalam hujan tu?”
“Manalah saya tahu. Saya tengok awak menari dalam hujan lebat tu. Nampak comel pula. Peristiwa ni lebih kurang sepuluh tahun lalu.”
            Aku memerah ingatan di kotak fikiran. Sepuluh tahun dahulu? “Oh, masa tu! Jadi awak tengoklah saya joget-joget macam orang gila?” Ingatanku segera berputar ke masa tersebut.
Nashriq senyum. “Seratus peratus. Dari mula awak turun tangga, kemudian depakan tangan, kemudian pusing-pusing, lari sana, lari sini. Sampailah ayah awak tarik awak naik.” Nashriq menceritakan detik-detik itu.
Aku memandangnya. Dia ingat semuanya? Mukaku berubah menjadi merah. Aku pandang kaki yang beralaskan selipar jepun. Agak-agak kalau aku guna kedua-dua selipar jepun ni, boleh tutup muka aku? Tak dapat aku bayangkan kelakuanku pada masa itu menjadi tontonan dia. Ah, ini semua ayah punya pasal!
“Dan, sebenarnya saya tak sangka jodoh yang kakak cadangkan pada saya adalah awak.” Nashriq menyambung lagi.
Aku pandang wajahnya sekali lagi. Ingatan lalu bagaikan melambai-lambai kepadaku sebelum menghilang ke awan tinggi. Jodoh? Aku kembali kepada masa kini. Tema inilah yang sepatutnya kami bincangkan. “Awak tak ada sesiapa sebelum ni? Maksud saya, kawan perempuan yang serius untuk dikahwini?” Tanyaku.
“Pernah. Saya pernah ada awak. Kemudian awak pergi dan saya tak ada sesiapa lagi selepas itu.” Nada Nashriq serius sahaja.
Aku mengerutkan kening. Pelik dengan kenyataannya yang seakan-akan kami ini pernah berkenalan dan berkawan. “Tapi saya tak pernah nampak Nashriq pun kat kampung ni.”
“Masih ingat lagi Cikgu Sabariah yang tinggal di hadapan rumah awak ni?” Nashriq bertanya sambil menunjuk ke arah sebuah rumah yang sudah lama kosong.
“Ya. Boleh dikatakan saya agak rapat dengan Cikgu Sabariah.”
“Dia ialah kakak saya. Sebelum hujan lebat turun pada petang itu, saya sampai di rumah kakak. Saya ponteng kuliah. Malas nak balik rumah sendiri, saya melencong ke sini,” ceritanya.
Aku seakan-akan ingat sesuatu. “Oh, jadi awaklah orangnya yang berambut panjang, berjaket hitam, mengendong gitar, dan berseluar jean koyak di lutut pada waktu tu?”
“Sri ada nampak saya?”
“Masa tu saya di bahagian belakang rumah. Hati saya dah risau berkenaan permohonan saya ke luar negeri. Kawan-kawan dah dapat jawapan tapi saya saja yang belum tahu untung nasib. Rupa-rupanya ayah saya yang terima surat tu. Dia buka dan dia simpan. Dia langsung tak beritahu saya. Bila saja saya terjumpa surat tu di antara timbunan majalah di bawah meja, saya gembira sangat. Pada waktu tu pula, hujan turun dengan lebat. Semasa saya di belakang rumah tu, saya perasan awak masuk halaman rumah Cikgu Sabariah.”
            Nashriq ketawa mendengar ceritaku. Selepas reda tawanya, dia berdehem. “Jadi, awak rasa, kita bagaimana?”
Aku menarik nafas dalam-dalam. “Begitulah.”
“Begitulah? Maksud awak?”
“Awak sendiri cakap awak tak ada sesiapa. Begitu juga saya. Jadi, eloklah tu kalau ada jodoh antara kita. InsyaAllah.”
“Awak tak kisah hidup dengan saya?”
“Awak akan jaga saya, kan?”
“InsyaAllah.”
“Jadi, saya tak kisah hidup dengan awak. Cuma, awak rasa ok ke hubungan kita nanti? Saya di Johor, awak di KL. Hujung minggu sahaja kita boleh jumpa.”
“Dah banyak pasangan yang jadi weekend husband and wife. Tak apalah. Sekiranya ada peluang, saya cuba minta tukar ke Johor. Syarikat tempat saya kerja ada cawangan di sana. Sepatutnya tak ada masalah sebab ada alasan yang kukuh.” Nashriq memandangku dengan senyuman.
“Okey.” Aku mengangguk.
“Kira jadilah ni?”
“Jadi aje,” kataku. Aku sengih lebar. Walaupun bayangan kenangan lama masih di bermain di fikiran, aku harus mula melupakannya. Sudah ditakdirkan aku akan hidup bersama jurutera rock ini. Aku memandang ke muka pintu rumah. Ekpresi emak dan ayah begitu ceria untuk mendapat menantu. Entah-entah, sudah difikir mereka akan wajah-wajah cucu yang akan memeriahkan rumah ini. Ah, emak dan ayah ni terlalu advance!
Aku memegang bahagian kiri dadaku. Entah kenapa aku rasakan denyutannya sedikit laju. Adakah nama Nashriq kini mula terukir di situ? Aku memandang Nashriq yang masih duduk di sebelahku. Dia memandangku dengan pandangan bercahaya. Cahaya cintakah itu?  

**nota kaki:
silalah ampunkan saya. MSM nanti satt eh.

3 comments:

Kak Sue said...

Buat apa mengharap pada yang x sudi dan hatinya telah kelain... baik ambil yg depan mata ... ROCK tu... hihihi

zuezakry said...

kak su, leave ur email!

kak na said...

betul ckp sue,tp sakitnya tetap di rasa sampai bila2.....
tp kn jodoh itu rahasia ALLAH