Monday, January 2, 2012

C.I.C.I [END] ~ part 2

"Kenapa?" tanya Ismail melihatkan kemerahan pada mata Intan. Dia beralih pula kepada bakal besan di sebelah. Effah dan Zulkifli saling berpandangan selepas melihat keadaan Intan. Di kotak fikiran masing-masing sudah terbayang anak teruna mereka punya angkara.

Effah mengeluh kecil. Perlahan dia menepuk peha Zulkifli meminta izin untuk ke dapur menjenguk Syafiq yang masih belum keluar lagi. Entah apa dibuatnya di sana setelah menyakitkan hati anak dara orang ni. Hati Effah mendongkol marah. Effah bangun dari sofa lalu menuju ke dapur.

"Apa Fiq buat?" tegur Effah menahan marah.

"Tak buat apa-apa la Umi.." kata Syafiq mempertahankan diri. Betul dia tak buat apa-apa. Dia cuma usik Intan seperti selalu. Tapi....

"Apa pula tak apa-apa? Berapa kali Umi pesan. Jaga hati Intan. Dulu Fiq juga yang pilih dia. Kalau masih tak boleh lupakan Nadiah, kenapa buat macam tu dekat Intan? Kenapa dulu pandai-pandai bagi cincin pada dia?" Effah menghamburkan kata. Memang panas betul hatinya kala itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati supaya jaga hubungannya dengan Intan, dan abaikan sahaja Nadiah!

"Umi.. Fiq tak sengajalah.."

"Apa yang tak sengaja?? Nadiah tu memang macam tu kan? Tak boleh tengok orang lain senang! Dulu dah dapat, pergi tinggalkan kenapa? Sekarang ni apa alasan dia ganggu Fiq lagi? Fiq tak ingat ke dulu macam mana dia buat Fiq? Hah, tak ingat? Tak mustahil esok-esok pun dia boleh buat Fiq lagi teruk tau! Umi nak Fiq fikir betul-betul. Pilih satu sahaja. Kalau betul Fiq nak pergi sangat pada Nadiah, Fiq putuskan ikatan dengan Intan. Tapi kalau Fiq sayangkan Intan, jangan jumpa lagi dengan Nadiah. Jangan berhubung dengan dia langsung. Umi tak suka. Umi juga percaya Intan pun tak suka kalau selalu sangat Fiq dengan Nadiah sedang dengan Intan, sikit pun takde masa.." sambung Effah. Syafiq perlu disedarkan. Kalau tak, dia tak dapat bayangkan bagaimana hala tuju perhubungan anaknya dengan Intan.

Effah menarik dan melepaskan nafas. Dia cuba bertenang dengan tingkah laku Syafiq. "Umi tak kira. Fiq yang mulakan semua ni, baik Fiq yang selesaikan. Pergi bincang baik-baik dengan Intan. Umi harap malam ni, sebagai lelaki, Fiq boleh bagi kata putus." Sebaik sahaja berkata begitu, Effah melangkah meninggalkan Syafiq di dapur.

~~~~~~~~~~~~

"Maaf ayah. Fiq nak pinjam Intan sekejap.." Syafiq bersuara setelah sampai di ruang hadapan. Intan yang masih diam, Syafiq pandang dengan lembut. Betul kata uminya, sebagai lelaki dia harus beri kata putus dan buat apa yang patut. Segalanya perlu selesai malam ini. Sekiranya salah faham ini dapat dileraikan pada malam ini, dia nekad untuk berbincang dengan Ismail mengenai majlis nikah pula. Sedang elok kedua ibu bapanya juga berada di situ.

Belum pun sempat Ismail bersuara, Effah menyampuk. "Nak bawa ke mana anak dara orang malam-malam begini?"

Syafiq memandang uminya. Dia tahu uminya masih marah dan bengang dengan dirinya. "Nak bersembang kat luar sahaja, Umi.. Tak pergi mana pun.. Takkan nak bercakap dekat sini. Fiq nak bincang dengan Intan sahaja." Kemudian Syafiq memandang Ismail semula. "Boleh ke, ayah?"

"Iyalah, pergilah. Intan, selesaikan baik-baik. Fiq, ayah tahu ini semua hanya salah faham. Tak ada perkara yang tak boleh selesai. Dua-dua dah besar. Dah boleh berfikir baik buruk. Buat keputusan dengan rasional, bukan ikut emosi.." kata Ismail menepuk-nepuk belakang Intan perlahan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Intan, abang tahu Intan marah. Tapi sumpah, abang dengan dia tak ada apa-apa. Lepas yang kita jumpa di Tesco dulu, mana lagi abang pernah keluar dengan dia. Intan tahu abang selalu outstation kan? Abang sungguh-sungguh elak dari jumpa atau keluar dengan dia. Umi bising dan dia tak suka. Intan pun tak suka jugakan.. Abang tahu.." kata Syafiq setelah masing-masing duduk bertenggek di atas divider jalan.

Pada mulanya Intan hanya diam. Dia menadah telinganya mendengar penjelasan daripada Syafiq. Sebenarnya dia agak malu dengan kelakuannya yang agak lepas semasa di dapur tadi. Dia tahu kata-katanya agak kasar sebagai seorang perempuan. Tapi, apa boleh buat. Nasi dah jadi bubur. Intan cuba berterus terang apa yang dia rasa. Tak sangka pula kata-katanya boleh jadi pedas begitu sampaikan Syafiq pun terdiam.

Intan mengeluh kecil. Betul kata ayah. Semua perkara boleh selesai kalau bincang elok-elok. Yang penting kena rasional, bukan ikut emosi. Kata-kata Syafiq tadi pun ada betulnya. Dalam tempoh dua bulan yang lalu, selalu sahaja Syafiq SMS kepadanya tentang kesibukan dan kerja luar yang dia perlu buat. Sedikit sebanyak perasaan marahnya menjadi reda. "Jadinya masa di Gurney dulu?" tanya Intan perlahan.

"Masa tu, abang dah tak boleh elak. Dia tunggu abang dari pagi sampai petang. Abang tak tahu nak buat macam mana.."

"Tak apalah abang. Intan anggap rezeki abanglah hari tu. Tapi sekarang Intan nak tahu keputusan abang. Siapa yang abang pilih sebenarnya?" Biarlah Syafiq menuduh dia tak tahu malu sekalipun, Intan tetap mahukan jawapan. Jawapan yang pasti. Jawapan yang muktamad. Sekiranya hati Syafiq masih merindui Nadiah, Inta rela walaupun hatinya cukup sayang pada lelaki itu. Tetapi sekiranya Syafiq memilih dirinya, Syafiq kena bersedia untuk tidak berhubungan dengan Nadiah lagi. Dia betul-betul berang mengingatkan sebaris nama itu.

"Intan, tak ada istilah pilih, OK. Sejak dari mula lagi, abang cuma ada tunang abang yang comel ni sahaja. Kenapa abang kena buat pilihan sedangkan abang hanya ada satu. Kalau tak pilih yang ni, siapa lagi.." Syafiq memandang Intan yang sedang memandang kakinya.

"Intan dengar dari Umi, dia tinggalkan abang sebab dia kena kahwin dengan pilihan ibu bapa dia, kan? So, apa dah jadi? Takkan dengan status dia sebagai isteri orang, dia masih keluar jumpa abang? Suami dia dekat mana?" tanya Intan mengorek rahsia.

"Dia dah single. Jodoh tak panjang.." Syafiq menjelaskan perlahan.

"Hah? Sebab tu dia cari abang balik?" terperanjat Intan mendengar tentang itu. Terasa jantungnya bagai dipam laju. Dia single? Aduh!

"Memang. Sebab tu dia cari abang balik. Tapi, Intan percayalah, abang tak ada apa-apa dengan dia. Abang cuma ada Intan seorang sahaja. Abang betul-betul minta maaf kalau Intan marah masa terjumpa kami di Gurney dulu. Masa tu abang dah tak tahu nak buat apa. Abang dah penat nak tegah dia. Berbuih mulut abang cakap.."

"Jadi, sekarang.. abang memang pilih Intan?"

"Siapa lagi yang abang ada..."

Air jernih yang bertakung di kelopak mata mengalir perlahan. Cepat-cepat Intan sapu. "Sampai hati abang. Hari yang sama masa Intan terserempak dengan abang dulu, Intan tension sangat. En. Amri buat perangai. Teruk Intan kena dekat ofis. Pagi-pagi lagi dah buat ribut. Intan terus EL lepas tu. Intan call abang banyak kali, tapi abang tak angkat. Call Syikin pun sama. Dia cuma sempat SMS Intan, dia dekat site. Lepas tu Intan tak tahu nak buat apa lagi.." cerita Intan. Sebab itulah dia sangat beremosi waktu itu. En. Amri tak habis-habis memerli dan memprovoknya tentang majlis perkahwinan. Bila Intan buat tak layan, En. Amri rasa tak puas hati dan makin mencari kesalahan-kesalahan yang Intan lakukan walaupun kecil. Bila sudah tidak tertahan lagi, komputer terus di'shutdown' dan dia terus keluar dari pejabat. Puan Aliza hanya memandang. Begitu juga dengan staf-staf yang lain. Mujur juga hari itu dia membawa kereta ayahnya. Kalau tidak, dia balik rumah jalan kaki sahaja.

"Sorry sayang.. Abang tak dapat jawab call Intan sebab masa tu abang meeting satu hari. Bila abang tengok handphone, memang banyak misscall abang dapat dari Intan. Bila abang cuba nak call Intan, Nadiah dah berdiri depan abang. Intan pun boleh agak lepas tu kan apa yang jadi.."

"Ish, dia ni.. memang nak kenalah.." marah Intan mengetap bibir.

Syafiq ketawa mendengar ugutan Intan. Bahagia rasa hatinya dapat memujuk Intan. Sememangnya dia sayangkan Intan. Tiada siapa yang dapat gantikan tempat Intan sekarang walaupun Nadiah yang pernah menduduki hatinya. Langkah seterusnya, dia perlu bersemuka dengan Ismail. Tidak mahu melengahkan lagi hari bahagia mereka. Sewaktu Syafiq dan Intan bangun untuk masuk ke dalam rumah, telefon Syafiq berbunyi. Intan memandang Syafiq. Hatinya bagai dapat mengagak siapa yang menelefon Syafiq melihatkan raut muka tunangnya sudah berubah. Pantas sahaja tangannya mencapai alat itu lalu menekan butang hijau.

"Helloo.." sapa Intan mesra.

"Bagi aku cakap dengan Syafiq!" kasar suara Nadiah di hujung sana.

"Maaf Cik Nadiah. En. Syafiq sibuk sangat sekarang. Ada hal penting ke?"

"Mestilah ada hal kalau aku call. Bagi aku cakap dengan dia.."

"Maaf lagi sekali Cik Nadiah. Macam yang saya cakap tadi, dia siiiibuk sangat. Kalau ada hal penting, boleh la tinggalkan pesan pada saya.."

"Kau!!"

Intan menjauhi Syafiq. "Cik, maaflah saya nak bagitau. Syafiq itu tunang saya. Bakal jadi suami saya tak lama lagi. Kalau awak kat tempat saya pun, mesti awak tak suka kalau perempuan lain kacau bakal suami awak, kan? Jadi, tolonglah faham. Jangan kacau kami lagi. Jangan buat kami bergaduh disebabkan awak. Kisah awak dengan Syafiq dah lama berlalu. Sekarang ni, Allah dah temukan saya dengan Syafiq. Makanya, sekarang ni giliran kisah kami. Cinta kami. Jadi, saya minta tolong sangat-sangat supaya jangan ganggu kami lagi.."

Nadiah hanya terdiam di hujung talian. Apa yang Intan ucapkan, sama sahaja dengan kata-kata dari Syafiq yang didengarinya sejak dua bulan ini. Betul kata Intan. Sewaktu dia bercinta dengan Syafiq dulu, sungguh pantang baginya kalau ada perempuan lain yang menjeling Syafiq. Nadiah bagaikan memahami perasaan Intan. Dia melepaskan keluhan berat.

"Intan, I minta tolong sangat. Bagi I cakap dengan Syafiq sekejap. I janji, kali ni aje.." pinta Nadiah seakan merayu.

Intan diam. Lama dia begitu. Dengan perlahan dia kembali ke tempat Syafiq lalu menghulurkan telefon tersebut kepada Syafiq. "Cakap.." kata Intan sepatah. Terus dia meninggalkan Syafiq di luar rumah lalu menyertai ayahnya dan kedua orang tua Syafiq.

2 comments:

ha-ra said...

erk???abis cm ni je ke?
tolong la gtaw ade part 3...huhuhu

Kak Sue said...

Syafiq kuatkan semangat..... jangan layan Janda gedik tu...
Intan lagi best kkk...
layannn