Wednesday, August 24, 2011

C.I.C.I [3]

Intan: Ulang tayang

Ismail gelak terbahak-bahak mendengar cerita anak tunggal kesayangannya. Syikin pula sudah menekan-nekan perut. Beberapa kali kepalanya digelengkan. Tidak tahan betul mendengar cerita Intan di Sunway tadi. Macam drama!

"Ayah, dah la tu. Sampai bila nak gelakkan Intan?" Kalau tadi muka Intan merah padam kerana malu, sekarang kerana geram dan marah pula. Tak patut ayah dan Syikin gelakkan dia. Mereka kan tahu sifatnya yang lemah semangat tu. Kenapa perlu dijadikan bahan lawak pula?

"Adui, Intan.. Intan. Kau tak tengok tau reaksi kau peluk dia tadi. Hish..." Sungguh Syikin begitu terkejut bilamana Intan mendakap tubuh lelaki kacak di tempat letak kereta tadi. Tapi setelah diceritakan Intan kenapa dia berbuat begitu, terus Syikin ketawa. Sepanjang jalan dia begitu. Intan pula masam mencuka. Sempat mulutnya menyumpah-nyumpah lelaki malang itu.

"Yelah. Siapa suruh dia buat lawak cekodok goreng macam tu.." Intan menjawab geram. Memang geram betul dia pada lelaki sombong tadi. Bila kita salah, kita minta maaf, dia buat tak tahu aje. Bila dia pula yang buat salah, boleh dia minta maaf sekadar melepaskan batuk di tangga saja? Sombong. Perasan bagus. Mahu saja Intan berdiri depan kereta mereka sebagai benteng supaya kereta tak dapat keluar sampai dia betul-betul minta maaf. Tapi, mengenangkan kawan kepada lelaki tadi turut berada di situ dengan mukanya yang tenang, hati Intan bagai terpujuk. Tambahan pula, kawan kepada lelaki tadi meminta maaf bagi pihak lelaki tersebut dengan bersungguh-sungguh.

"Anak ayah ni, kenapa boleh kelam kabut sangat macam ni? Nasib baik la girlfriend dia ke, isteri dia ke tak tengok. Kalau tak, tak tahulah ayah apa akan jadi." Tawa Ismail telah reda. Dia menatap wajah Intan di hadapannya.

Intan menyuap secubit Marble Cheesecake ke mulut. Dia tak peduli kata-kata ayahnya. Baginya, memang malang betul nasib mana-mana yang jadi girlfriend atau isteri dia. Sebetulnya, perasaan Intan begitu resah ketika ini. Bila mengingatkan kejadian tadi, dia betul-betul malu! Betul-betul telah memalukan diri sendiri. Entah mana nak sorok muka ni. Mujur juga pada masa tu, tak ada ramai orang di situ. Tetapi, mata Intan sempat menangkap beberapa pasang mata yang memaku terhadap mereka. Ish, malunya. Hatinya kuat mengatakan bahawa pemuda tadi ingin balas dendam padanya. Kalau ye pun nak balas dendam, janganlah dibuat macam tu. Macam budak-budak. Bukannya dia tak dengar aku membebel pasal troli berlanggar sebelum tu. Memang nak kena betullah mamat ni. Harap muka saja handsome, perangai out!

"Hai, masih teringatkan lagi kehangatan badannya yang sasa tu?" Syikin menyiku Intan di sebelah. "Pakcik, orang yang Intan peluk tadi tu, kacak sungguh. Kulit dia tak cerah macam pakcik, tapi tak juga terlalu gelap. Sedang-sedang aje. Tinggi, sasa. Syikin percaya dia tu memang ada pakej lengkap untuk jadi lelaki idaman. Bila Syikin fikir balik, dia ni sesuai sangat dengan Intan. Tapi nak buat macam mana, kan.. Anak pakcik ni 'hyperactive' sangat. Belum apa-apa, dah gelojoh.."

Ismail tergelak.

Intan memandang Syikin dengan mata yang bulat. "Apa kau cakap aku? Hyperactive? Banyaklah kau punya hyperactive. Ayah, sat lagi, kita tinggal aje dia kat stesen minyak. Suruh dia jalan kaki balik sendiri. Padan muka.."

"Alahai, gurau ajelah. Sampai hati kau eh nak tinggal aku jalan kaki balik sorang-sorang?"

"Sampai hati aku aje kau ingat? Yang kau tu sampai hati kutuk-kutuk aku gelojoh tu, boleh?"

"Sudahlah tu Intan, Syikin. Apa pulak nak gaduh sampai-sampai hati ni.. Don't worry Syikin. Pakcik akan hantar Syikin balik.." celah Ismail sebagai penyelamat. Dua sahabat ni kalau dibiarkan bertekak, Secret Recipe nak tutup belum tentu habis lagi.

Syikin tersenyum manis memandang Ismail. "Sayang pakcik!" Dia kemudian memandang Intan yang diam di sebelah. Syikin tahu Intan sedang memujuk hatinya supaya melupakan insiden tadi. Intan tu, selagi perkara tak selesai, selagi itu akan difikirkannya. Macam masalah negara aje. Yang sudah tu, sudahlah. Memaafkan orang lain adalah satu sifat yang terpuji.

Intan menjelirkan lidahnya kepada Syikin. Mengejek. Ayah orang pun dia nak sayang-sayang. Geram betul. Dalam kepala Intan, dia masih lagi memikir-mikir mengenai pemuda yang 'diemui'nya tadi. Kenapa aku kalut sangat? Dia tidak sebegitu sebenarnya. Dia seorang yang sangat serius. Dia seorang yang sangat peka dengan perkara-perkara di sekeliling. Teliti. Tapi semua tu tak terjadi pada hari ni. Intan masih mencari-cari jawapan kepada kekalutannya hari ni. Dia mengakui memang dia lemah semangat. Dia tidak boleh dapat berita secara mengejut. Dia tak boleh dengar bunyi-bunyi yang kuat macam tu. Apatah lagi disergah seperti yang dibuat oleh lelaki petang tadi. Habis terbang semangat Intan.

"Erk.. erm. Miss, are you OK?" Intan masih mendakapnya sewaktu pertanyaan itu diajukan. Tidak pula Intan segera menjarakkan diri, malah lebih erat dia peluk.

"Ya Allah, Intan.." Syikin mendapatkan Intan. Cuba meleraikan tubuh sahabatnya dari tubuh lelaki yang nyata dan jelas sedang terkejut dengan aksi spontan Intan.

"Intan.. hey. Kau tau tak apa kau buat ni?" Mendengar suara Syikin di belakang, Intan seakan tersedar. Uhuk. Tubuh siapa ni! Saat dia sedar akan tubuh sasa dalam pelukannya, dia sangat pasti yang bukan Syikin dia peluk. Ya Allah, apa pulak yang aku dah buat ni? Anak siapa lagi yang jadi mangsa aku kali ni?

Dengan pantas Intan merenggangkan badannya. Muka didongakkan ke atas perlahan-lahan. Dia tak sanggup malu lagi. Saat anak matanya bertembung dengan anak mata lelaki tu.. Mata yang sama lagi?! Ya Allah, ya Allah. Apa aku dah buat ni? Berapa kali aku perlu dimalukan dengan orang yang sama pada hari ini? Tadi dah pegang lengan. Tak cukup dengan pegang, aku cubit-cubit lagi. Sekarang? Aduh, aduh..

"Fiq, apa kau dah buat?" Kawannya datang menghampiri.
"Aku tak sengaja, Mi.. Aku cuma.."
"Kau ni Fiq.. Err, cik ok? Saya minta maaf bagi pihak kawan saya.. Maaf sangat-sangat cik. Cik ok kan?" Bersungguh-sungguh kawan yang dipanggil Mi oleh lelaki tadi meminta maaf.

Intan diam. Dia masih blur dengan apa yang berlaku. Seketika kemudian, barulah kejadian dia disergah tadi bagai ditayang semula di ingatannya. Ouh, kali ni bukan salah aku!

"Huh?"
"Saya minta maaf cik ye. Fiq, apa lagi.. Kau kena minta maaf dari dia!"
"Uh? Erm.. Sorry. Sorry."

Tanpa balasan kata dari Intan, dia telah meloloskan diri ke dalam Honda Civic di sebelah. Intan hanya membiarkan. Bila semangatnya datang balik, barulah dia tersedar sebenar-benar sedar.

"Cis. Mamat poyo. Kau sergah aku. Eee.. geramnya!" Intan mendengus. Syikin di sebelah dipandang. Intan terus membuka pintu kereta lalu masuk. Dia menghidupkan enjin dan kereta mula bergerak keluar dari tempat letak kereta.

"Kin, kau jangan bagi aku jumpa lagi dengan mamat tu!" Amaran dari Intan betul-betul menggeletek perut Syikin. Ismail juga sama. Tak disangka Intan boleh mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Intan, kita ni siapalah nak lawan takdir Allah, kan sayang? Kalau nak jumpa, akan jumpa jugak. Mana boleh cakap begitu pada Syikin. Kuasa apa yang Syikin ada untuk halang Intan dari jumpa lagi dengan lelaki tu?" pujuk Ismail.

"Betul tu pakcik. Saya sokong. Alah Intan, kalau dah jodoh, tak ke mana. Jangan risau Ok.."

Intan mencebikkan bibirnya. Jodoh konon, boleh jalan. Dia takkan pilih lelaki macam tu sebagai suami. Perasan bagus. Tak hormati kaum perempuan langsung. Lelaki tu kena bagi kursus khas cara-cara menghormati kaum wanita. Mana boleh orang perempuan dilayan begitu. Lagi-lagi Intan tak sengaja. Bukannya dia perempuan gedik yang sengaja cari pasal nak peluk lengan anak teruna orang. Maruah dirinya tak semurah itu.

1 comment:

sue said...

Hehehe... Intan ni so funny kan....
Pakcik Ismail pun sporting kan...
Agak2 kalau jumpa lagi mcamana ya .... x dapat nak dibayangkan kedua2nya...hehehe