Monday, September 26, 2011

C.I.C.I [10]

"Kenapa tak siap lagi ni?" tanya Ismail sambil merenung Intan di ruang dapur.

"Kalau tak pergi, tak boleh ke ayah?" balas Intan.

"Kenapa pulak? Ayah dah bagitau yang kita akan datang. Kita tu maknanya ayah dengan Intan. Takde takde, pergi siap cepat.." Ismail mengarah anak tunggalnya.

Ni yang leceh, gerutu hati Intan. Siang tadi bila ayahnya memberitahu yang mereka akan malam bersama keluarga Syafiq, dia ingatkan makan di rumah ni. Tidaklah dia pandai masak sangat pun sampai nak terhegeh-hegeh menunjuk kepada keluarga Syafiq. Dia cuma lebih selesa di rumah sendiri sebab dia boleh kawal keadaan. Kalau di rumah Syafiq, dia takut penyakit kalutnya yang sedikit tu datang menyerang tiba-tiba. Tak ke naya pisang berbuah dua kali?

Nak tak nak, Intan masuk ke biliknya menukar pakaian. Dia menyarung sehelai blouse berwarna hijau dan dipadankan dengan skirt labuh. Selendang putih dililitkan ke kepala. Selesai berbedak ala kadar dan mencalit Lipice ke bibir, dia keluar. Ismail telah pun memanaskan enjin kereta. Dia menunggu di dalam kereta sambil melayan radio. Intan segera memadam suis lampu dan hanya lampu di luar rumah sahaja yang terpasang. Setelah mengunci pintu, dia memberi isyarat kepada ayahnya supaya mengundurkan kereta. Pintu pagar mahu ditutupnya.

***************************

Alhamdulillah. Makan malam selesai dengan jayanya. Makanan yang disediakan simple-simple aja tapi amat menyelerakan. Diberitahu tadi semua masakan tu uminya Syafiq yang sediakan. Waa, beruntungnya Syafiq ada umi yang pandai masak gila-gila. Intan sempat memuji, alangkah bertuahnya hidup Syafiq. Keluarganya lengkap ada abah, ada umi, ada adik-beradik. Tapi dia? Hanya ada ayah yang seorang tu sahajalah. Astaghfirullah.. Intan menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sedar dia seharusnya bersyukur walaupun punya seorang ayah sahaja berbanding dengan orang lain yang tak punya siapa-siapa.

"Nak saya tolong ke?" satu suara tiba-tiba menyapa dari arah belakang.

Intan memusingkan kepala. Tangannya masih berbuih dengan sabun basuh pinggan. Selesai makan malam tadi, dia menawarkan diri untuk tolong umi Syafiq mengemas meja makan dan basuh pinggan. Patutnya umi Syafiq ada bersamanya tadi. Tapi kini dia sendirian setelah Zulkifli memanggil isterinya ke depan.

"Oh, En. Syafiq. Tak payah susah-susahlah. Bukan banyak pun. Dah nak siap dah ni.." Intan menyambung kembali kerjanya yang tergendala.

Syafiq terus menghampiri. Dipusingkan kepala paip ke sinki sebelah. Pinggan yang dah disabun Intan, diambil dan dibilasnya lalu diletakkan ke rak. Intan hanya memerhati tangan Syafiq yang bekerja. Uh, cekapnya. Bertuah sungguh la kalau dia dapat suami yang ringan tulang macam Syafiq ni. Intan tersenyum mendengar 'umpatan' hatinya. Dia tiba-tiba teringat insiden yang berlaku pada pertemuan mereka. Memang gila-gila dia sumpah Syafiq. Siap cakap, siapalah perempuan malang yang jadi girlfriend dia. Oh, no! Adakah aku perempuan itu? Bukankah malam ni dia nak berterus terang pada Syafiq yang dia nak merealisasikan hubungan olok-olok mereka?

"Ingatkan siapa?" Syafiq memandang Intan di sebelah.

"Huh? Tak ada siapa-siapalah.." balas Intan. Pergerakan tangannya yang terhenti semasa memikirkan perempuan malang tadi kini kembali aktif.

"Ingatkan saya tak apalah. Janganlah ingat orang kat tempat kerja tu pula." Mendalam sungguh ayatnya. Harap-harap Intan faham. "Oh ye, kerja macam mana?"

"Herm, ok, macam biasa aje. Alhamdulillah. Kenapa En. Syafiq tanya?" yakin sahaja Intan membalas dan bertanya.

"Saja.. Baguslah kalau Ok.." Syafiq senyum di akhir bicara.

Intan diam seketika. Kepalanya dipusingkan ke belakang. Cuba memerhati keadaan. Dia nak bagitau Syafiq sesuatu ni. Rasanya sesuai kut. Tengah takde orang ni..

"Erm.. En. Syafiq, saya kan..." Intan mula mengatur ayat.

"Eh, Intan ni.. Jangan panggil saya, encik. Tadi umi dah tegur masa Intan panggil saya macam tu kat meja makan.. Panggil Syafiq saja, ok?" bisik Syafiq perlahan.

Intan terkedu. Lor, bila pulak yang uminya tanya? Ish, tajam sungguh pendengaran uminya ye? Dalam pada itu, Intan sempat menganggukkan kepalanya. Betullah.. mana ada tunang panggil tunang encik? Macam berdaulat sangat.

"Baiklah enc.. eh, Syafiq.."

"Ha, macam tulah.. Kalau nak best lagi, tambah abang kat depan tu.."

"Sorry??"

Syafiq tersengih. Suka betul dia tengok mata Intan membulat di sebalik cermin mata bingkai hitamnya itu.

**************************

Effah memandang sahaja gelagat Intan dan Syafiq di dapur. Bibirnya terukir senyum. Bila melihatkan Syafiq berdiri di sebelah Intan, matanya bergenang air mata. Anaknya Syafiq dah besar. Cepat sungguh masa berlalu. Anak bongsunya yang manja tu kini dah bertukar menjadi lelaki dewasa yang kacak, dan bakal menamatkan zaman bujangnya tak lama lagi. Effah memejam matanya rapat. Cuba mengusir takungan air mata bahagia. Bibirnya yang masih tersenyum kecil kini menjadi lebar. Dia tahu, Intanlah orangnya yang akan bergandingan dengan Syafiq. Dia takkan salah pilih..

Effah mendapatkan Zulkifli yang sedang berborak dengan Ismail di ruang tamu. Dia duduk di sebelah Zulkifli dengan senyum yang masih bersisa.

"Hai, Effah.. Senyum aje dari tadi?"

"Seronoklah saya, abang.. Kan nak dapat menantu?"

Kata-kata Effah membuatkan Zulkifli dan Ismail berpandangan. Baru sahaja hal itu dibincangkan tadi. Mereka sebenarnya bukanlah bapa yang kejam pada anak-anak. Mereka cuma gertak sahaja, dan bersebab tau!. Zulkifli dan Ismail sama-sama memasang telinga saat Intan menggunakan Syafiq dan mengaku sebagai tunang di hadapan orang lain. Ismail memang marah dengan tindakan anaknya tu. Di saat itulah, timbul idea jahatnya untuk mengenakan Intan kembali. Begitu juga dengan Zulkifli. Dia seperti dapat merasakan yang Syafiq juga menggunakan pendekatan yang sama untuk melepaskan diri daripada dipaksa berkenalan dengan Siti Zaharah.

"Dari situlah sebenarnya. Ceritanya pun jadi macam ni.." Zulkifli menerangkan kepada Effah perihal yang sebenar. Effah mengangguk lemah. Dia faham. Betul kata suaminya. Dia tak berhak tentukan siapa jodoh Syafiq. Biarlah Syafiq sendiri yang mencari.

Effah mengangkat muka memandang Ismail. "Tapi, Mail.. kalau Syafiq dah betul-betul sukakan Intan, macam mana?" Dia memandang suaminya pula. "Macam mana abang, kalau Syafiq betul dah jatuh suka pada Intan?" Effah tak bertanya kosong. Dia dah buat research tadi. Dia percaya pada mata tuanya sewaktu melihat Syafiq bersama Intan di dapur tadi.

"Kalau dah suka, tak ada masalah.. Abang suka juga pada Intan. Kita pun dah kenal Mail lama, kan?" balas Zulkifli.

"Aku pun takde bantahan kalau Intan ada perasaan yang sama. Kalau betullah diorang tu suka sama suka, memang aku nak satukan cepat-cepat.." kata Ismail menyatakan persetujuan.

Effah kembali senyum. Iye, dia akan tanyakan pada Syafiq bila ada peluang nanti.

"Umi, Cik Nab dah siapkan buah ni.." dengan sopan Syafiq meletakkan pinggan berisi buah di atas meja. Dia duduk di sebelah uminya selepas itu.

Intan pula meletakkan dulang berisi air. Selepas menyusun cawan + piring dan menuang air, dia melabuhkan punggung di sisi ayahnya.

"Habis basuh pinggan?" tanya Effah kepada Syafiq.

"Bakal menantu umi tu memang rajin sungguh. Siap dah semuanya.." jawab Syafiq dengan matanya memandang Intan.

Intan mempamerkan wajah tenang dan bersahaja. Tapi jantung di dalam bagai diketuk dan dipalu. Bakal menantu? Seramnya perkataan. Di saat mata Effah beralih padanya, dia mengukir senyum pada orang yang dah mengenyangkan perutnya malam ni.

Sepi mengisi seketika. Zulkifli dan Effah diam. Ismail juga diam. Entah mereka ni tengah memikirkan agenda atau apa, Intan tak tahu. Dia menyiku ayahnya di sebelah.

"Kenapa diam aje ni, ayah?" tanya Intan.

"Ha'a. Pelik juga umi dan abah pun diam.." Syafiq pula menambah. Tadi umi beritahu padanya, agenda seterusnya selepas makan adalah 'perbincangan' ringkas mengenai majlis. Uminya tak beritahu pula majlis apa. Tunang atau nikah? Disebabkan Syafiq dan Intan dah terkantoi bertunang olok-olok, rasa-rasanya majlis yang patut dibincangkan adalah majlis nikah la kut?

Zulkifli dan Effah masih lagi diam. Mereka cuma berbalas pandangan.

"Takpelah, kalau semua orang diam. Biar Syafiq aja yang cakap, ok?" kata Syafiq menepuk perlahan peha uminya di sebelah.

"Syafiq nak cakap pasal apa?" tanya Effah. Entah kenapa dadanya berdebar-debar.

Syafiq menyeluk poket seluar. Dia mengeluarkan satu bekas berbentuk segi empat lalu dihulurkan kepada uminya. Effah menyambut lalu dia membuka kotak tersebut. Matanya terpaku pada isi dalam kotak. Beberapa saat kemudian, Effah bagaikan mengerti dengan hajat hati anaknya. Dengan pantas, kotak itu dihulurkan kepada Zulkifli di sebelah. Dia memandang Zulkifli dengan satu senyuman kelegaan berbaur kebahagiaan. Macam sajian kebahagiaan!

"Abang.."

Zulkifli menghela nafas. Cepat sahaja dia menangkap maksud dengan isi kotak. Dia memandang Syafiq. "Fiq serius ke ni?"

"Yelah, bah. Fiq serius. Kenapa?" tanya Syafiq. Kenapa dengan abahnya ni?

"Fiq tak main-main?" tanya Zulkifli lagi.

Intan dan Ismail hanya memandang perlakuan anak-beranak di depan mata mereka. Apa kes sebenarnya? Tapi tak manis pula kalau nak menyampuk hal orang lain. Mereka menunggu sahaja kalau-kalau Zulkifli atau Effah membuka mulut nanti.

"Tanda kecil aja, bah. Ikhlas dari hati Fiq."

Zulkifli tersenyum. Dia memandang Effah dan terus memandang Ismail.

"Mail, maaflah.. Aku terus terang sahaja, ok.." kata Zulkifli bermukaddimah.

"Apanya Li? Cakap sahajalah. Kalau ada apa-apa aku boleh tolong, aku tolonglah.." kata Ismail. Bimbang pula melihat kawannya slow motion aje ni.. Macam tak percaya aje jadi business man.

"Memang kau kena tolong aku.." Zulkifli mengangkat kening. "Tolong paskan anak kau kat anak kami?"

Intan yang sedang membelek jam di tangan kirinya mengangkat muka. Kurang jelas di telinganya kata-kata yang Zulkifli ucapkan. Yang dia dengar hanya perkataan anak. Intan memandang Ismail yang kebetulannya Ismail turut memandang Intan.

"Kenapa, ayah?" tanya Intan.

"Intan sudi?" tanya Ismail pula.

"Sudi apa?" tanya Intan lagi.

"Ish, budak ni.."

"Apanya?" tanyanya lagi dan lagi. Dia betul-betul tak faham.

"Terima Syafiq." jawab Ismail ringkas.

"Terima Syafiq?" Intan memandang Syafiq. Seketika kemdian, dia kembali memandang Ismail. "Bukan ke kami dah bertunang?" tanya Intan terus terang. Kan? Buat apa nak tanya? Bukan ke mereka kena masing-masing terima?

Mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibir comel Intan, Zulkifli dan Ismail masing-masing ketawa. Rupa-rupanya anak-anak mereka memang ambil serius kata-kata mereka dulu. Zulkifli memberi isyarat pada Effah.

Effah bangun. Dia duduk di sebelah Intan.

"Pada umi, memang Intan dah bertunang dengan Syafiq. Jadi, cincin ni sebagai tandanya.." Effah menyarungkan sebentuk cincin bermata hijau di jari manis Intan. Alamak aih. Memang padan!



Intan senyum. Entah mengapa ada rasa bahagia menyelinap di hati. Cincin ni besar maknanya. Ada hati bakal bersatu.

Syafiq lega. Dia masih tak tahu dan tak kenal hati Intan macam mana. Sekurang-kurangnya dia tak terlepas satu peluang. Intan itu adalah petunjuk dari Dia. Juga dah jadi pilihan uminya.

Dengan keberanian yang dipinjamkan oleh Azmi, dia mula cabar dirinya untuk buka hati. Buka hati dengan kehadiran Intan. Mungkin inilah permulaan kepada kebahagiaan yang dia cari. Dan dia tahu, di saat Intan tersenyum menerima cincin di jari, Intan juga sebenarnya sedang memberi peluang kepada hatinya. Seperti kata-katanya di dapur tadi, "olok-olok kita realkan, takpe ke?"

Syafiq rasa sedikit tenang. Wajah Nadiah terasa makin hilang diganti dengan senyum Intan yang masih tak lekang. Dulu cintanya di situ. Bersama Nadiah. Sekarang, cintanya di sini. Bersama Intan. Cinta itu takkan sama dengan cinta ini. Cinta itu, cinta masa lalunya. Cinta ini, cintanya masa kini. Cinta itu, dah jadi sejarah. Cinta ini, akan disemai sampai mati.

3 comments:

Kak Sue said...

so sweet... best lah...
Mimpi menjadi kenyataan kan....
hehehe...

inna hayati said...

dan boleh jadi '+'..haha...kot ye pun menulis dengan laju cik siti oi...:D

btw....memang sweet :D

zuezakry said...

uih, cik inna hayati... takleh speed sangat la skrg. banyak speed trap. haha. insyaAllah, dua tiga episod lagi habis la tu ~~

rindu sama kamu cik inna :(