Tuesday, September 27, 2011

C.I.C.I [11]

Syafiq mengenakan kad staf ke alat pengimbas. Pintu pejabat terbuka. Dia melangkah tegap secara perlahan dengan handphone di tangan. Semasa melalui meja pekerjanya, dari sebelah kiri, terdengar ucapan, "Tahniah boss!". Dia memandang dengan pandangan pelik. Manakala di sebelah kanan, "Congrate boss!". Kepalanya ditoleh ke kanan pula. Masih dengan pandangan pelik. Dia berjalan lagi, dan dari depan, "Well done, En. Syafiq!"

Kening lebat Syafiq berkerut. Walau bagaimanapun, ucapan tahniah yang dia tak tahu hujung pangkal tetap dibalas dengan senyuman. Kepalanya sedikit mengangguk walaupun jelas riak wajahnya menunjukkan kekeliruan. Tahniah untuk apa? Dia mengangkat bahu, whatever!

Dia tetap melangkah penuh yakin. Sapaan dari setiap staf dibalas dengan mengangkat tangan. Pintu bilik dibuka. Sesampainya dia ke meja, beg galas yang berisi segala mak nenek dokumen diturunkan perlahan. Dia terus melakukan rutin harian. Pada mulanya, fikiran Syafiq masih terfikir-fikir mengenai ucapan tahniah tadi. Dengan cebikan, dia terus membuka planner di depan. Meneliti kerja-kerja yang tertangguh dan kerja-kerja yang patut dilakukan pada hari ini. Tanpa dia sedari, masa terus berlalu.

"Assalamualaikum.. Busy ke?" sapa satu suara di pintu.

"Waalaikummussalam.. Macam tak biasa," balas Syafiq tidak mengangkat muka. Mendengar suara sahaja, Syafiq tahu siapa gerangannya di sana.

"Nak lunch mana hari ni?" Azmi melangkah masuk.

"Lunch?" Syafiq menelek jam di tangan. Oh, dah pukul 1.30. Cepat sungguh masa berlalu. "Kau nak makan kat mana?" tanya Syafiq. Dia berdiri, masih meneliti planner di tangan.

"Tempat biasa aje lah."

"Ok, 5 minit.."

************

"Patutlah. Kau punya kerja rupanya!" kata Syafiq sedikit meninggi setelah Azmi selesai bercerita. Rupa-rupanya ucapan tahniah yang diterima pagi tadi adalah untuk berita pertunangannya. Tukang sebar pula adalah kawan baik sendiri.

"Benda yang elok.. haruslah dihebahkan," balas Azmi membela diri. Sungguh dia seronok bila hubungan Syafiq dan Intan telah direalisasikan. Tambahan pula, direstui oleh ibu bapa masing-masing. Bukankah makin berkat kalau begitu? Jauh di sudut hati, dia mendoakan kebahagiaan temannya yang seorang ni.

"Masalahnya, aku belum nikah lagi. Kami baru bertunang. Macam-macam boleh jadi. Kau ni.." kata Syafiq. Orang kata dugaan semasa bertunang ni pun tak kurang hebatnya. Sebab itulah, dia tidak berhajat untuk hebahkan berita pertunangannya dengan Intan kepada orang lain. Cukuplah hanya pihak keluarga terdekat dan kawan rapat sahaja. Tunggu bila betul-betul dah confirm, betul-betul mereka dah bersedia untuk berumah tangga, masa tu dia akan bagitau satu dunia!

"Janganlah fikir yang bukan-bukan. InsyaAllah, kau dengan Intan selamat nanti.." kata Azmi tersenyum.

Mereka meneruskan suapan sambil diselang-seli dengan cerita hal ehwal semasa. Kadang-kadang terhenti dengan panggilan telefon. Namun kedua-duanya dah biasa dengan keadaan begitu. Sehinggalah Syafiq mendapat satu panggilan.

"Eh, private?" kata Syafiq sambil menunjuk telefonnya kepada Azmi. Azmi hanya menjungkit bahu.

"Hello.." sapa Syafiq dengan nada tanda tanya.

"Hello.."

Sekejapan Syafiq terpempan. Dia bagaikan mendengar satu suara yang tak asing bagi dirinya. Suara yang satu ketika dulu pernah membuai perasaannya. Satu suara yang tak pernah dilupakan.

"Fiq.. It's me.."

Saat ini, jantung Syafiq sudah berhenti berdegup.

*********


Intan menekan remote control di tangan. Tak ada satu pun rancangan yang menarik untuk ditonton. Sudahlah ayahnya hanya melanggan pakej 'Astro' yang basic, iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Memang bosan.

"Kin, jom kita gi tengok bola.. Bosanlah aku asyik duk ngadap TV dari tadi.. Takde cerita best pun." Intan memandang Syikin yang sedang ralit menelek majalah Nur. Petang-petang Sabtu begini memang Syikin selalu melepak di rumahnya. Kemudian dia kembali memandang skrin tv di hadapan. Tak ada kartun nak ditengok pada masa ini.

Syikin menutup majalah di tangan. Matanya menghala ke jam dinding. 6.10 petang. "Bolehlah.. Sebelum pukul 7 kita balik tau.." Sebenarnya, dia pun agak boring juga. Dari tadi, dah berapa banyak majalah yang dibelek. Majalah tu pun bukannya keluaran terbaru. Kawannya si Intan memang jarang membeli majalah.

"Iyelah, aku tau.."

"Dah, pergi siap cepat." kata Syikin sambil membetulkan tudungnya.

Intan bangun menuju ke biliknya. Kain batik yang dipakai diganti dengan seluar trek. Berbedak ala kadar, dia menyarung tudung ke kepala. Sweater UTM berwarna hitam di sarung ke badan. Biasanya begitulah dia kalau malas nak menukar t-shirt berlengan pendek yang dipakai di dalam rumah.

"Dah Kin. Jom!"

Mereka melangkah keluar menuju Swift yang terparkir di luar pagar rumah.

********************

Mereka menjamu mata melihat aksi anak-anak muda bermain bola di padang. Begitulah selalunya yang mereka lakukan kalau dah memang tiada aktiviti yang boleh difikirkan. Semuanya bermula beberapa bulan yang lalu. Ketika mereka sedang berjoging di sekitar kampung, dengan tak sengaja Intan dan Syikin berhenti berteduh di satu perhentian bas di hadapan sekolah. Kebetulan pula pada masa tu ada satu perlawanan diadakan entah pasukan mana lawan pasukan mana di belakang perhentian tersebut. Melihatkan ramai orang yang menyaksikan perlawanan itu, Syikin menarik tangan Intan ke arah padang. Menyertai orang ramai menyaksikan aksi-aksi berebut bola. Sejak dari situ, timbullah hobi baru mereka..

"Tak ramai orang pun hari ni.." kata Intan.

"Ha'a. Kita aje ni.." balas Syikin sambil mengunci Swift.

Intan dan Syikin masuk ke kawasan padang. Mereka melabuhkan punggung ke atas rumput sambil memerhati pemain-pemain bola sepak. Mereka bukanlah arif tentang permainan tersebut, tapi sebab memang tak ada kerja yang boleh dibuat, mereka rela menghabiskan petang yang bosan di situ.

Secara tiba-tiba, bola tergolek ke arah mereka. Pada masa tu, ada seorang pemain berlari mengejar bola. Dia lalu di hadapan Intan dan Syikin. Kebetulan mata Intan sedang memerhatikan dia.

"Eh??" kata dia.

"Eh??" kata Intan.

Dia mendapatkan bola dan kemudian berlari ke arah Intan semula.

"Tunggu," pesannya sepatah.

Syikin berdehem sambil menyiku Intan di sebelah kanan. Hujung kening diangkat-angkat tanda memerli. "Ooo, inilah sebabnya kau ajak aku ke sini ye?"

"Hish, tak kuasa aku. Manalah aku tahu yang dia pun main.." jawab Intan membela diri.

Matanya di hala kembali ke padang. Ketawa Syikin di sebelah dah tak dihiraukan. Anak matanya sentiasa mengawasi langkah dia. Ke tengah padang, ke tepi, ke kanan dan ke kiri. Entah kenapa aksi tunangnya di padang menarik perhatian. Seketika dia rasa Syafiq tu seksi sangat.

Setelah permainan tamat, Syafiq mendapatkan Intan dan Syikin di tepi padang. Dia berjalan dengan kawan-kawannya. Lebih kurang satu meter, Syafiq berhenti dan berkata sesuatu. Seolah-olah meminta diri dengan memberitahu yang dia akan datang ke arah Intan.

"Hai.. sejak bila suka tengok bola kat sini?" tegur Syafiq. Dia melabuhkan punggung sedikit jauh dari Intan. Tahu dengan keadaan diri yang berpeluh begitu.

"Adalah.." jawab Intan sepatah.

"Tak pernah nampak pun. Saya pun selalu main kat sini, apa. Tapi tak pernah pun nampak Intan dengan Syikin lepak kat sini.." kata Syafiq lagi. Dia mengesat peluh di dahi dengan tapak tangan.

"Tu lah. Kami pun tak pernah nampak awak kat sini.." jawab Syikin.

"Erm, agaknya masa korang datang tu saya tak main kut.. Kadang-kadang saya duk tepi padang macam ni jugak. Hari ni tiba-tiba rasa nak main pulak.." kata Syafiq. Dia tiba-tiba nak main sebab hatinya sekarang gundah-gulana. Gundah setelah mendapat panggilan yang tak disangka-sangka.

Intan memandang Syafiq lagi sekali. Diperhatikan tingkah dan aksi Syafiq menyeka peluh. Sesekali Syafiq menghayun kepalanya untuk mengalihkan rambut hadapannya yang jatuh. Oh, handsomenya tunang saya! Jantung Intan berdegup sedikit laju. Aura Syafiq begitu kuat terhadapnya. Pertama kali dia merasakan perasaan yang begitu. Perasaan yang tidak boleh dihuraikan. Tapi Intan bagaikan dapat meneka. Am I in love?

"Aku tahulah dia tu seksi sekarang. Tapi tolonglah cover sikit!" bisik Syikin keras di telinganya.

Intan memandang Syikin dengan kening berkerut. Syikin memberi isyarat mata. Dari sebelah lagi satu, ketawa Syafiq dah meletus walaupun perlahan.

"Intan ni... Berangankan siapa?" tanya Syafiq. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Sorry?" tanya Intan tidak faham.

"Kau ni Intan, dari tadi Syafiq tanya soalan pasal ayah kau. Dengar ke tak?" celah Syikin.

"Oh yeke.. Pasal apa? Tak dengar pun!" balas Intan. Mukanya dah merah menahan malu.

Syafiq ketawa. Lucu dengan telatah tunangnya. Baginya Intan ni sangat menarik bila tertangkap begitu.

"Kau ni.. tunang duk sebelah pun boleh khayal lagi?" marah Syikin.

"Biarlah. Tunang aku.. Tak salah kan?"

"Tak.. Tak, Intan tak salah. Malah saya beruntung sangat. Intan dah sayangkan saya, kan?" kata Syafiq dengan pandangannya dihala kepada Intan. Dia senyum dan Intan turut senyum.

Setelah itu, dia memandang padang yang terbentang. Baginya Intan tak salah sebab dia khayalkan diri tunangnya sendiri. Dan, pada saat ini, Syafiq rasa sangat bersalah pada Intan. Entah bagaimana mahu dia jelaskan. Perasaannya pada Intan cuba disuburkan tetapi dengan satu panggilan telefon yang dia terima beberapa hari yang lalu bagaikan membantutkan pertumbuhan perasaannya pada Intan. Iye, panggilan daripada Nadiah telah melemahkan segala keyakinannya yang ada untuk hidup bersama Intan.

Tapi Intan di sebelahnya pada hari ini, sedang memandang wajahnya dengan penuh perasaan. Perasaan yang penuh dengan pengharapan. Entah macam mana Syafiq nak selesaikan. Betul-betul dia buntu. Semasa mendengar suara Nadiah, kenangan lama bagai hidup kembali. Dan Intan?

**posted 1 Nov 2011, 11.25pm.

2 comments:

Kak Sue said...

Syafiq ingat lah Nadiah masa lalu .... kenangan lama ....
Intan adalah masa ni dan akan datang .... Pilihlah yang terbaik..... kalau kak sue pilih Intan.....

Kak Sue said...

kenapa lama nak sambung ni...