Sunday, January 22, 2012

JH 4


Uuu.. Semakin aku bersabar, semakin dia naik minyak dengan aku. Siapa lagi yang aku maksudkan kalau bukan senior engineer yang baru sampai minggu lepas tu. Ahmad Fauzi.

Zie? Uwekkk! Geli tekak aku mendengarnya. Dalam jurnal ni, kod nama aku bagi pada dia adalah Jiji. Kalau tambah seketul huruf 'k' lagi di belakang tu lagi bagus kut! Tapi tak boleh. Dia tak begitu menjijikkan sebab orangnya terlampau tampan dan memang bergaya habis. Kalaulah perangainya tak semenggah macam tu, dah lama cair aku dibuatnya. Mujurlah aku tahu dia sebenarnya bagaimana. Tapi bolehkah seseorang itu dinilai pada pertemuan pertama? Mmm, kena tanya pendapat Tsu nanti.

Oh ye. Lupa nak bagitau macam mana aku tahu dia dipanggil Zie. Semuanya sebab dia yang memang dengkikan kebahagiaan aku. Cis. Pada hari pertama dia masuk kerja dan menghuni bilik yang aku kemaskan semalamnya tu, Puan Suzie datang menemui aku di tingkat 7. Katanya ada perubahan jadual iaitu mulai hari tu aku akan ditempatkan di tingkat 9. Aku tak adalah kisah sangat sebab kat mana-mana pun sama aje. Dan tugas aku di tingkat 7 akan diambilalih oleh Kak Nur, dari tingkat 9.

Baru aku tahu yang Kak Nur bercuti pada hari aku kena kemas bilik Si Jiji. Sebab itulah Puan Suzie minta aku yang kemaskan. Tapi aku memang rasa ada something yang tak kena. Kenapa tiba-tiba ada pertukaran cleaner? Kan ke semuanya sama saja? Uh. Pada masa tu, aku langsung tak fikirkan apa-apa. Kan ke di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung? Tak kisahlah.

Kiranya pada pagi itu, aku mulakan tugas di tingkat 9. Berbeza sungguh suasana di tingkat 9 dan tingkat 7. Kat tingkat 7 suasananya agak meriah, tapi kat sini sunyi sepi. Setiap orang di bilik masing-masing. Kecuali meja setiausaha diletakkan di luar bilik boss masing-masing. Oh, Puan Suzie tu SU pada mamat tu ke? Baru aku tahu.

Aku ingat lagi. Hari kedua aku di tingkat 9. Baru sahaja aku siap mop lantai dan berkira-kira untuk turun ke tingkat 7 untuk menyimpan peralatan, aku disapa seseorang. Ahmad Fauzi. Dia minta aku buatkan nescafe untuknya. Berkerut dahi aku dibuatnya. Bukan ke dia boleh minta melalui Puan Suzie? Seketika aku mencari Puan Suzie di meja. Tak ada. Uh, aku kena jadi tea lady pulak? Arahan tadi tu aku terima dengan anggukan.

Dah siap bancuh, aku ketuk biliknya dan masuk setelah mendengar suaranya dari dalam. Mug aku letakkan atas meja dan ready untuk keluar. Tapi tak boleh!! Tahu tak aku kena buat apa? Kat lantai di belakang kerusinya terdapat banyak gila fail yang berselerak. Ada pelbagai warna dan pelbagai catatan di tepi fail. Dia suruh aku susun dalam kabinet ikut abjad. Arahannya sangat jelas, tapi yang tak jelas pada aku sekarang, ada ke dalam cleaner job description tugas tu? Saat aku terpandangkan mulutnya yang senyum herot tu, aku tahu yang dia sebenarnya nak kenakan aku! Astaghfirullah, sabar ajelah aku. Teringatkan mop dan baldi aku masih di luar, terpaksa aku minta sepuluh minit untuk kembali. Ya atau tak, terus aje aku keluar.

Sepuluh minit kemudian, aku masuk ke biliknya dan terus ke belakang kerusi dia. Masa tu dia buat tak tahu aje dan dia biarkan aku selesaikan tugas aku. Ada satu waktu handphone dia berdering. Aku terpasang telinga sebab jarak kami takdelah jauh sangat. "Ok, Zie jumpa awak lunch nanti.." Telinga aku sempat tangkap ayat tu.

Aku rasa macam nak berguling aje. Zie? Manja gila nama tu? Huh, tak padan dengan tuan yang kasar, berlagak, perasan! Dari situlah aku tahu nama 'manja'nya - Zie.

Adui, tugas tak rasmi aku selesai jugak akhirnya. Bila fail-fail terakhir aku masukkan ke dalam kabinet, aku terus bagitau yang aku nak keluar. Dan jawapannya, "Thanks. Thanks juga untuk nescafe yang tak sedap ni.."

Masa dia cakap tu, langsung dia tak pandang aku. Aku rasa semua darah aku naik ke muka. Kurang asam betul. Aku pandang mug yang aku bawa tadi. Tak sedap pun habis jugak aku tengok. Hish, aku tak pernah jumpalah orang macam ni.

Hari ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sampailah ke hari ni, ada aje masalah yang dia bawa dan bagi pada aku. Pada hari aku menulis ni, aku rasa aku dah sepuluh hari kut aku dikenakan oleh dia. Aku nak senaraikan sebelum aku terlupa.

Hari ke2 - dia minta aku buat air dan susun fail yang berselerak di belakang kerusinya.

Hari ke3 - dia minta aku buat air pada paginya dan minta aku carikan kuih pada petangnya. "Guna duit kau dulu." Pada hari tersebut, aku rasa nak sekeh aje kepalanya. Kuih yang seringgit dua tu pun kedekut nak keluarkan duit! Makan nak. Gaji dia mesti ribu-ribu punya kalau nak dibandingkan dengan gaji aku yang ciput ni! Aimy, kau sabar ajelah.

Hari ke4 - aku rasa aku kena check dengan Pak Long mengenai job description aku. Dia suruh aku jadi typist! Eeee, Ya Allah Ya Tuhanku, kau kurniakanlah kesabaran pada anak yatim piatu seperti aku ni. Dari jam dua sampai ke petang. Tau tak aku balik jam berapa hari tu? Jam 7.30 malam! Nasib baik Puan Suzie pun ada bersama. Tapi mendengarkan ucapan terima kasih dari Puan Suzie buat aku cool sikit. Agaknya betul-betul dia perlukan typist kut masa tu. Oklah, halallah!

Hari ke5 - hari aman sedunia bagi telinga aku sebab dia ada mesyuarat di luar bersama Puan Suzie. Tapi sebelum mereka gerak tu, sempat dia cari aku yang masa tu aku tengah tadah air di toilet. Dia pesan, "Kau toolong ambil pesanan kalau ada seseiapa cari aku.." Dia suruh aku jadi SU pulak?? Heee...

Hari ke6 - Aku kena taip minit mesyuarat semalam yang mereka hadiri sebab Puan Suzie cuti kecemasan. Puan Suzie, why you do this to me?? I am a cleaner.. Aku gagahkan juga untuk menaip. Dengan format lintang pukang, aku taip aje seperti dalam catatan Puan Suzie. Nasib baiklah aku student engineering. Sedikit sebanyak perkataan atau short form yang Puan Suzie tulis tu aku boleh baca. Dan kalau tak boleh baca pun, aku agak-agak sahajalah. Kalau salah, adala tu tukang perbetul.

Hari ke7 - Dia suruh aku belikan lunch untuk dia. Waaa, nak nangis sebab kena guna duit aku lagi. Pak Long, boleh tak Aimy isi borang claim bulan ni?? Bila aku masuk pejabat dan letakkan makanan, dia tanya apa aku makan masa lunch hari tu. Aku jawab aku bawa bekal dari rumah. Mama Tsu yang masak. Dia ajak aku makan sekali dengan dia. Maka, makanlah aku dengannya tengahari tu. Dia paksa aku makan makanan yang aku beli dan dia makan makanan yang mama Tsu bekalkan untuk aku.

Hari ke8 - Aku masuk lambat sebab terlewat bangun dan tertinggal LRT. Nak marahkan Tsu pun tak boleh juga sebab dia dah banyak kali kejutkan aku. Jejak je kaki aku di tingkat 9, aku terpandangkan muka pembuli nombor 1 dunia di meja Puan Suzie. Mukanya aku rasa agak tegang. Kemudian dia terpandangkan aku yang baru masuk dengan membawa peralatan canggih aku iaitu mop, baldi, plastik sampah, sabun-sabun dan sebagainya. Aku senyum pada Puan Suzie bila mata Puan Suzie bertentang dengan mata aku. Bila aku berkalih pada Si Paprik yang masih ada di situ, senyuman aku mati. Aku rasa dia marah kut aku datang lambat. Tapikan... aku bukannya pekerja dia. Betul tak? Jadi aku buat selamba ajelah.

Hari ke9 - Aku rasa.. entah. Samada dia yang sakit atau aku yang tak sihat. Dia takde suruh aku buat apa-apa. Huh, lega. Agaknya dia dah tahu dan faham kut tugas-tugas hakiki seorang cleaner macam aku ni.

Hari ke10 (hari ni) - Dia buat perangai dia balik!! Arghh, hari ni aku memang tak cukup tangan, tak cukup kaki dan tak cukup nafas. Pagi. Dia minta buatkan air. Sempat aku tanya Puan Suzie kenapa dia suka aku buatkan air untuknya padahal dia tahu air yang aku buat tu tak sedap. Puan Suzie menggeleng tanda tak tahu. Dia minta aku buatkan Milo. Di pantri, stok milo tak ada. Tanpa fikir panjang, aku terus bancuhkan nescafe. Hantar ke bilik dia. Aku terangkan yang milo takde, jadi aku buat nescafe. Dia cakap, "Milo takde kat pantri tu aje. Kat pasaraya berlambak. Kalau takde, pergilah beli. Aku nak milo, bukan nescafe. Kau faham bahasa Melayu ke tidak?"
Fine. Aku pergi beli. Of course melayang lagi duit aku! Tengahari. Dia minta lagi aku belikan makanan untuk dia. Duit siapa? Duit aku juga. Petang. Lepas zuhur. Aku sedang duduk melepaskan lelah, dia datang cari aku dan minta aku ke biliknya. Dia cakap dia nak tukar citarasa dengan mengubah perabot dalam biliknya. Dia suruh aku yang buat. Aku manalah tahu citarasa dia! Lagi pula, perabot tu semua bukannya kecik dan ringan. Semuanya besar dan berat. Dia tak tengok ke badan aku yang cekeding ni? Tak tahan sungguh aku dengan perangainya. Harap muka sahaja lawa. Tapi hati tak molek langsung. Nak tak nak, aku buat sahajalah. Sedang dia pula dah kembali ke kerusinya. Mengadap laptop. Yang terdaya aku ubah adalah kedudukan sofa. Daripada saling mengadap dan berbentuk segi empat, aku tukar jadi bentuk L. Lantaklah dia suka atau tak atau macam mana citarasanya, aku tak peduli. Lepas tu aku terus belah. Bukan sahaja belah dari biliknya, aku terus belah sampai ke rumah.

Sebab tulah hari ni aku boleh menulis. Sebab memang free sangat-sangat. Esok Jumaat public holiday. Jadi aku tak perlu tengok muka dia selama tiga hari. Bahagianya aku.

1 comment:

zm said...

hero kalo nk ngorat suka buli heroin...... huuhuh