Thursday, January 26, 2012

JH 7


Hari ni dah hari ketiga aku kerja macam biasa setelah 3 hari bercuti rehat menenangkan fikiran walaupun pada hakikatnya aku terpaksa menahan ‘gelora asmara’ pada hari Sabtu yang lepas. Nasib baik Tsu ajak aku keluar ronda-ronda makan angin di sekitar KL dan tengok wayang sekali. Lupa terus pasal hati!

Malam ni, tak boleh tidak. Aku kena tulis sesuatu berkenaan peristiwa yang dah jadi sepanjang tiga hari aku bekerja dalam minggu ni. Peristiwa yang melibatkan aku dan mamat saleh yang pandai cakap Melayu tuu. Oh, lupa nak tulis. Kena, kena..nanti lupa. Masa kenduri hari tu yang Tsu sibuk-sibuk ceritakan pasal family aun
tienya tu, aku sempat juga mencelah bertanya satu soalan yang dah lama aku nak tanya. Aku tanya Tsu perihal fizikal si Jiji tu. Kenapa nampak sangat bukan Melayunya, sedangkan Tan Sri dan Puan Sri tu memang Melayu habis? Pandai cakap Melayu pulak tu. Dan Tsu dengan senang hati membuka hikayat. Barulah aku tahu yang Ahmad Fauzi tu sebenarnya anak tiri Puan Sri. Masa study di oversea dulu, Tan Sri pernah berkahwin dengan wanita Amerika dengan restu dari kedua-dua belah keluarga. Malangnya jodoh mereka tak panjang sebab isteri Tan Sri masa tu meninggal dunia selepas melahirkan Ahmad Fauzi. Bila balik Malaysia, Tan Sri kahwin pula dengan Puan Sri. Tsu cakap lagi yang kenduri ni diadakan sempena Jiji habis belajar, seperti Tan Sri dan Puan Sri bagitahu kawan-kawan yang lain, sebenarnya alasan yang minor sahaja. Yang majornya adalah sempena Jiji dah buat keputusan untuk menetap terus di Malaysia. Cerita yang sebenarnya, masa umur Jiji 10 tahun, nenek dia dari Amerika datang ke Malaysia dan bawa dia ke sana. Jiji bersekolah, masuk university dan sempat kerja di sana. Sebenarnya dia ikut sebab nak jaga neneknya yang hidup seorang diri. Bila neneknya meninggal, Jiji buat keputusan untuk balik terus ke Malaysia. Masa study dulu pun, Jiji memang ada ramai kawan berbangsa Melayu dari Malaysia dan Indonesia.

Patutlah pandai cakap Melayu..

Habis cerita pasal Jiji. Sekarang aku nak cerita pasal aku dengan dia pula.

Isnin hari tu. Uh, aku boleh senyum lagi waktu tulis ni bila mengenangkan aku terpaksa layan budak tadika basi. Memang serius aku tak pernah jangka yang aku kena tempuhi perkara sedemikian. Mujurlah masa tu Puan Suzie duduk diam-diam aje di mejanya walaupun aku terperasan juga senyuman geli hatinya tu waktu aku lalu depan dia.

Macam biasa, pagi tadi Jiji minta aku buatkan Nescafe. Sejak aku buat air untuk dia, dia tak pernah minta dari Puan Suzie. Pelik la. Aah, biarlah! Dah biasa dengan tugas itu, aku terus ke pantry. Alamak, stok Nescafe pula habis. Yang ada masa tu Milo, Lipton dan Nesvita. Aku tahu Nestiva tu kepunyaan Puan Suzie sebab hari tu dia pernah offer pada aku kalau-kalau aku nak Nesvita tu. Aku dah tak nak pandai-pandai buat air yang bukan-bukan untuk dia. Dah taubat sejak aku kena berkejaran ke pasaraya terdekat dulu tu semata-mata dia nak minum Milo. Sekarang Nescafe pulak habis? Kenapalah diorang ni tak tengok stok betul???

Lepas puas aku picit kepala yang hampir nak migraine pada hari tu, aku terus ambil sachet Milo, Lipton dan juga Nesvita. Bila lalu depan Puan Suzie, aku minta dia halalkan sepaket Nesvita yang aku ambil. Puan Suzie senyum dan menga
ngguk. Masuk bilik Jiji, aku menghadap dia.. Jap, aku nak ingat balik dialog antara aku dengan dia pada hari Isnin lepas.

"Encik, Nescafe dah habis."

Dia mengangkat muka. "So?"

Aku dekatkan diri dengan meja dia lalu letakkan tiga paket minuman. "Saya akan bancuh salah satu daripada minuman ni yang Encik pilih. Kat pantry cuma ada ni aje. Saya minta maaf saya tak boleh pergi beli Nescafe lagi hari ni.”

Dia tengok aku tanpa bagi jawapan.

“Kalau nak, Encik boleh pilih. Kalau tak nak, saya keluar..” Aku tak tahulah macam mana aku boleh cakap dengan nada ugutan macam tu. Macam main tarik tali dengan budak-budak! Padahal dia nak minum air saja pun. Aimy, kau memang! Tapi aku takkan buat macam ni kalau perangai dia tu menunjukkan dia seorang senior yang matang.

“Cik, kau buat ajelah air apa-apa pun. Aku telan..”

“Encik pilihlah satu..”

“Susahlah kau ni. Aku dah cakapkan buat aje air apa pun!”

Tadi cakap nak Nescafe. Sekarang air apa-apa pula. Aku nak buat air apa ni? Tak nak gaduh-gaduh aku ambil balik ke semua sachet minuman yang aku atur atas mejanya tadi lalu keluar dari bilik dia.

Cik? Ceh,lepas dia tahu nama penuh aku dari Tsu masa kenduri kat rumah dia hari tu, terus dia panggil aku Cik. Suka hati dialah. Aku tak nak gaduh benda kecil macam tu.

Lima minit kemudian, aku tatang satu dulang berisi tiga mug air lalu aku letak atas meja dia.

“Encik pilih. Saya keluar dulu..”

“Hey, perli ke apa ni?”

“Perli-perli tak main. Ikhlas Encik…”

Aku berhenti di depan meja Puan Suzie yang tengah senyum. Aku pun tak tahu sejak bila aku jadi kamcing dengan Puan Suzie. Tak ada segan silu nak kutuk boss dia depan dia. Kutuk secara hormatlah. Dan pagi tu sempat aku mengadu. “Dia buli saya lagi..” Tapi jawapan Puan Suzie masa tu buat aku menyesal ‘bertandang’ ke tempat dia. Tak nak tulis kat sini sebab aku tak nak ingat! Terus aku pergi dari situ dan menuju ke lif. Baik turun! Tapi aku ingat lagi masa aku dalam lif, aku senyum geli hati sorang-sorang. Tak patut aku layan dia macam budak-budak tadi. Tak apalah, nanti aku minta maaf kemudian.

Hari Selasa. Entah macam mana tiba-tiba aku boleh terfikir pasal Kak Ain aku yang dekat KK tu. Aku teringin sangat nak bercakap dengan dia. Kira rindu habis ni. Hari tu, aku kelam-kabut sikit buat kerja. Air dalam baldi mop tertumpah, air sabun pun tertumpah, ada aja benda yang tak kena. Alamak, kenapa ni? Nak call, handphone takde. Bukan tertinggal atau tak bawa pergi kerja tapi aku memang tidak memiliki handphone. Uh, betapa ketinggalannya aku dalam zaman teknologi yang serba canggih macam ni, kan? Tapi memang aku macam tu, nak buat macam mana? Selalunya aku berhubung dengan Kak Ain melalui emel atau chatting di YM. Sekarang ni nak pinjam computer siapa pula? Alamak, kenapalah aku tak pinjam laptop Tsu malam tadi.

Rupa-rupanya ada orang yang perasan pasal kekalutan aku hari tu. Jiji datang dekat aku waktu aku tengah bersihkan sisa-sisa tumpahan air sabun di lantai waktu aku tengah lap dinding glass bilik mesyuarat.

“Kau ni kenapa Cik? Dari tadi aku tengok kau ni pelik semacam? Sawan?” Itulah ayat dia yang buat aku hampir menangis. Dia cakap aku sawan?? Sampai hati. Aku tak jawab, terus aje buat kerja. Sebelum dia tinggalkan aku kat situ, sempat dia cakap, “Kerja tu seriuslah sikit! Jangan main-main. Ingat ni bapak kau punya ke?”

Sungguh. Hari selasa (semalam) adalah hari yang paling bersejarah. Sebelum ni aku tak pernah terkesan langsung dengan kata-kata berlada dia. Tapi entahlah kenapa hari tu, aku terasa gila! Dahlah cakap aku sawan, pastu main-main bapak pulak. Bapak aku dalam kuburlah. Nak aje aku jerit macam tu kat dia. Tapi apa nak buat.. Aku ni kuli aja. Waktu rehat tu aku menangis dalam toilet. Huhu.. Kak Ain. Malam tadi aku habiskan masa berjam-jam di hadapan laptop Tsu. Berskype dengan Kak Ain. Lepas rindu. Lepas geram. Tsu geleng kepala tengok perangai aku. Dah banyak kali dia bising suruh aku beli handphone. Zaman sekarang ni berlambak handphone yang murah, katanya. Tak nak. Aku tetap tak nak ada handphone!

Dan hari ni. Siang tadi aku dah cergas macam biasa. Happy kut sebab Pak Long cakap dalam minggu depan aku akan dapat gaji. Dengar bab fulus, macam tulah aku. Hari ni langsung aku tak bercakap dengan Jiji sebab hari ni aku minta tolong Kak Nur gantikan aku kat tingkat 9 yang tak banyak sangat kerja. Aku kerja di tingkat 7 dengan Makcik Mah. Lama aku borak-borak dengan dia sambil-sambil buat kerja. Entah apa yang jadi kat Kak Nur. Dia kena buli macam aku ke?

Esoklah aku tanya. Malam ni nak kosongkan fikiran. Nak tidur nyenyak-nyenyak. Aku tengok Tsu hari ni lain macam sikit. Apa kena pulak budak ni? Monyok aje. Tak dapat gaji ke? Esoklah aku risik-risik dengan dia.

No comments: