Friday, August 26, 2011

C.I.C.I [4]

Syafiq: Plan yang tak disangka-sangka

"Apa ni, abah? Kenapa pula Fiq?" Dengan kain pelekat dan t-shirt putih, dia memandang TV. Baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib.

"Kenapa apa? Pergi jumpa, kenal, pastu baliklah." jawab Zulkifli sambil memandang Syafiq.

"Kawan abah, abahlah yang pergi. Apa pulak Fiq kena pergi? Lagipun Fiq nak buat apa sorang-sorang kat sana?" Syafiq meraup muka. Macam mana nak lepaskan diri ni?

Effah memandang Zulkifli. Susah sungguh nak pujuk Syafiq. Tidak dinafikan Syafiq sekarang ni jauh benar bezanya dengan Syafiq dulu. Syafiq yang dulu agak mendengar kata. Dia seorang anak yang baik dan taat. Tidak seperti sekarang. Lebih-lebih lagi kalau soal yang melibatkan jodoh.

"Apa salahnya Fiq pergi sorang-sorang. Bukan tak biasa dengan Haji Malik tu. Dia pun sayang Fiq macam anak dia juga. Tak ada apa yang perlu ditakutkan." pujuk Effah.

"Memanglah Fiq biasa dengan dia, mii. Tak perlu nak takut apa-apa. Tapi kalau Fiq pergi sorang-sorang, mati kutu Fiq dibuatnya." Syafiq cuba memberi alasan.

Syafiq bosan bila dileteri begitu. Syafiq tahu niat abah dan uminya yang sebenar. Mereka mahu Syafiq berkenalan dengan Siti Zaharah, anak Haji Malik yang kebetulan sedang bercuti. Siti Zaharah bertugas sebagai guru di bandar Seremban. Menghabiskan masa di kampung sementara budak-budak cuti sekolah. Syafiq pun bukanlah tak biasa dengan Siti Zaharah. Dah biasa sangat. Mereka berjiran dengan kakak sulung abahnya. Tapi tidaklah dia rapat benar. Kenal gitu-gitu aje. Pada masa tu, Haji Malik pindah ke kampung dalam lima tahun lepas. Setiap kali Syafiq pulang ke kampung, mereka selalu juga berbual.

Siti Zaharah memang manis orangnya. Sopan. Pandai melayan abah dan uminya sekiranya mereka bertandang ke sana. Tapi pada Syafiq, dia anggap Siti Zaharah sebagai kawan biasa sahaja. Tak lebih dari itu.

Syafiq sebenarnya telah berkasih sebelum ni. Tapi jodohnya tak panjang. Gadis yang dicintainya itu terpaksa menurut pilihan orang tua. Sebak hati Syafiq bila mengingatkan Nadiah. Nadiah gadis baik tetapi lincah dan nakal. Syafiq suka dengan sikapnya yang happy go lucky tu. Tapi bila datang bab mak ayah, Nadiah jadi penurut. Katanya, tak sampai hati menghampakan harapan orang tua.

Syafiq menghembuskan nafas dalam diam. Kalaulah Nadiah ada bersamanya sekarang, tentu umi dan abah takkan paksa dia berkenalan dengan Siti Zaharah. Kalau Nadiah ada, dia tak perlu pening-pening kepala fikir untuk mencari calon menantu kepada umi dan abah.

Ahha! Umi pernah bagitahu Syafiq satu perkara. Penting!

"Umi, kalau Fiq kata Fiq dah ada seseorang, macam mana? Umi masih nak suruh Fiq kawan dengan Zaharah lagi ke?" tanya Syafiq. Baru dia teringat uminya pernah kata lebih kurang macam ni, "kalau Fiq ada teman, tak adalah umi susah-susah cari anak orang". Di kepalanya terencana sesuatu.

"Kenapa? Fiq dah ada teman? Bila? Kenapa tak bagitau kami?" tanya Effah. Dia dan Zulkifli saling berpandangan. Kalau dah ada, terus teranglah.

"Ada. Fiq ada seseorang. Cantik.. Sedap mata memandang.." jawab Syafiq membayangkan seseorang.

"Siapa? Anak siapa?" tanya Effah tidak sabar. Zulkifli masih diam. Dia menantikan seseorang yang akan 'diperkenalkan' oleh Syafiq. Calon menantunya.

"Mana boleh bagitau. Nanti Fiq bawa dia jumpa umi." Syafiq menelan air liur yang dirasakan berpasir. Uh, terlanjur cakap pula! Boleh tarik balik?

"Eh, tak jadilah umi. Nanti Fiq bincang dulu dengan dia. Takut pula dia tak ready lagi.." Cover. Cover. Harap-harap umi tak perasan.

"Ok.. Tapi sekurang-kurangnya, bagitaulah nama dia siapa.." gesa Effah. Dia betul-betul tak sabar. Bukan apa. Syafiq ni bukan boleh percaya. Entah idea mana dia dapat untuk elakkan diri dari bertandang ke rumah Haji Malik di Sungai Jagung. Dia sempat menjeling jam di dinding. Hampir pukul 8. Mereka dah janji nak datang pada jam 9 malam. Kalau Syafiq boleh huraikan siapa calon isterinya, senanglah hatinya. Dia mahu Syafiq hidup bahagia. Tidak dibayangi lagi dengan Nadiah yang sudah sah menjadi isteri orang pada tahun lepas. Dah setahun berlalu, tapi Syafiq masih belum dapat lupakan Nadiah. Dia jadi risau dengan perubahan sikap Syafiq. Kalau Syafiq betul-betul sudah ada seseorang di hatinya, ini bermakna Effah dan Zulkifli harus ke rumah Haji Malik bersama Syafiq. Dia akan berterus terang dan membetulkan keadaan.

"Nama dia.. ehemm.." Syafiq menggosok tapak tangannya. Alamak, umi tanya nama pula. Nama dia siapa ye? Aduh. Aduh.

"Hai Fiq, takkan nama pun tak tahu. Korang ni berkawan ke tak?" tanya Zulkifli. Dia merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Syafiq.

"Berkawanlah abah. Kami serius. Tapi belum terfikir lagi nak ke arah kahwin ni.." terang Syafiq. Dia berusaha melindungi wajah gelisahnya.

"Sejak bila?"

"Petang tadi.." jawab Syafiq selamba tanpa dia sedar mulutnya turut menyampaikan kata hati.

"Petang tadi? Petang tadi apa?" tanya Effah. Terperanjat sungguh dengan jawapan Syafiq. Petang tadi baru serius ke? Kemudian Effah menambah, "Petang tadi baru jumpa ke petang tadi baru serius?"

"Ala umi ni.. Dahlah. Kalau macam tu, jomlah kita ke Sungai Jagung sekarang. Umi lebih pentingkan orang sana dari anak umi sendiri." Syafiq bangun. Dia terperangkap sebenarnya. Plannya tak menjadi. Soalan-soalan umi dan abahnya tu langsung tak dijangka. Aduh.

"Yelah. Sekurang-kurangnya bagitau nama. Senanglah urusan kita kat sana.." tanya Effah. Cuba bersabar dengan karenah Syafiq.

Syafiq terus menonong ke anak tangga. Tapi mendengarkan suara lantang abahnya memanggil, "Fiq! Umi tengah tanya ni kan?" Syafiq berhenti di anak tangga pertama. Dia memandang umi dah abah yang sedang memandang ke arahnya.

"Nama dia... emm.." Syafiq menarik nafas. "Nama dia Intan."

"Intan?" Effah dan Zulkifli menyebut serentak.

"Iye. Nama dia Intan. Intan Syafiqah." Sejurus selepas tu, dia terus naik ke atas.

Effah dan Zulkifli saling berpandangan.

"Macam pernah dengar, kan?" Mereka bersuara serentak.

3 comments:

Kak Sue said...

Terima kasih ada juga sambungan ya sebelum cuti raya ..... hahaha.... entah2 anak kawan bapa dia juga kot....
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN .....

wan norstanirazah said...

Sempat juga baca sblm raya...he..he..he..x delh teringat2 sgt....

zuezakry said...

kak sue & kak wan, selamat hari raya juga :)