Friday, December 16, 2011

C.I.C.I [15]

Dua bulan kemudian...

Dia masih termenung di meja makan. Kata-kata uminya tadi bagaikan terdengar di sebelah telinga sahaja. "Suka hati Fiqlah. Umi tak nak campur tangan." Dia sikit pun tak menjawab sebab apa yang uminya cakapkan itu benar belaka. Bukan dia tidak perasan. Dia perasan dengan kekerapan Nadiah menghubungi dan keluar dengannya. Menjadikan masanya dengan Intan semakin berkurangan. Dan dia juga perasan dengan layanan Intan terhadapnya. Intan bagaikan sudah tidak kisah dengan hubungan mereka lagi dan lebih malang, Intan bagaikan tiada perasaan melihatkan hubungan Syafiq dengan Nadiah!

Saat ditegur oleh Cik Nab, Syafiq masih lagi mengelamun. Perlahan-lahan Cik Nab datang menghampiri Syafiq di meja makan.

"Fiq, dah habis? Cik Nab nak kemas ni.." lembut suara Cik Nab menegur anak bongsu majikannya yang sedang termenung. Perbualan di antara Effah dan Syafiq tadi memang didengarinya. Ingin sahaja dia menyampuk bahawa apa yang dikatakan Effah tu betul. Tak ada seorang perempuan yang suka melihat tunangnya keluar dengan perempuan lain. Apatah lagi dengan kekerapan yang tinggi. Ringan sahaja mulutnya ingin berpesan kepada Syafiq supaya menjaga hati Intan dengan sebaik mungkin. Namun, baik dia diamkan sahaja. Sebagai orang luar, dia tak patut masuk campur hal majikannya.

"Oohh.. Maaf Cik Nab. Boleh pulak orang termenung. Cik Nab boleh kemas dah. Sorry.." balas Syafiq. Air minuman di dalam gelas diteguk perlahan.

Cik Nab mengangkat pinggan Syafiq ke singki. Kepalanya digeleng-geleng melihatkan telatah Syafiq yang sudah dewasa.

"Err, Cik Nab. Biar orang aje lah yang basuh pinggan tu. Cik Nab rehat aje ya.." Syafiq dah pun berdiri di sebelah Cik Nab. Dia sudah bersedia untuk menuangkan sedikit sabun basuh pinggan cecair ke dalam bekas.

"Aih, rajin pulak malam ni?" tegur Cik Nab bergurau. Sebenarnya, bukan malam ni sahaja Syafiq rajin. Ada ketikanya kalau dia tak penat, selalu dia tolong Cik Nab di dapur walaupun kepakarannya hanyalah basuh pinggan. "Takpe ke ni Fiq basuh sorang-sorang?" tanya Cik Nab sebelum berlalu.

"Apa pulak tak boleh. Sorang lagi bagus. Orang nak ambik feel kejap. Tadi bukannya Cik Nab tak dengar Umi membebel. Punyalah lama. Dah, Cik Nab pergi duk depan dengan Umi. Jangan kacau orang buat kerja, OK." arah Syafiq.

Cik Nab tersengih lalu membawa diri ke bahagian depan. Manakala Syafiq pula sudah memulakan tugasnya. Walaupun tangannya sibuk menyabun pinggan dan gelas, fikirannya tidak di situ. Fikirannya ke taman perumahan tunangnya. Terfikir-fikir apa yang Intan sedang lakukan sekarang. Sudah enam hari rasanya mereka tidak bertanya khabar.

Syafiq mengeluh. Intan memang sedang melarikan diri daripadanya sejak terserempak dengan Syafiq bersama Nadiah sebulan yang lalu. Syafiq yang sedang menemani Nadiah membeli belah di Gurney Plaza hanya mampu terpaku saat melihat Intan sedang memandang mereka berdua. Intan sempat mengukir senyuman yang sukar Syafiq tafsirkan. Pada masa itu, Syikin ada bersama Intan. Saat Syikin memandangnya, cepat-cepat dia menarik Intan berlalu dari situ.

Sungguh dia bingung. Dia rasa bersalah pada Intan tapi dalam masa yang sama dia turut rasa marah pada tunangnya yang tak rasa apa-apa melihatkan dia bersama orang lain. Intan ni takde perasaan ke? Dan selepas itu, Intan sudah jarang menjawab call atau membalas SMSnya. Apatah lagi nak call atau SMS!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Intan ni, ok ke tak?" tegur Ismail setelah melabuhkan punggung di sebelah anaknya. Malam itu dia ingin 'menyelesaikan' sesuatu dengan Intan.

Intan menekan-nekan remote control di tangan untuk mencari siaran yang menarik sebelum menjawab soalan Ismail. "Kenapa ayah tanya? Intan nampak tak ok ke?" Akhirnya dia memilih Majalah 3 sahaja.

Ismail hanya mengangkat bahu. "Nampak tak Ok tu, tak lah. Ayah cuma nampak Intan ni serba tak kena aja. Buktinya, dah berapa biji pinggan ayah Intan pecahkan dalam sebulan ni? Dahlah jauh ayah beli di Langkawi sana. Nampaknya kena pergi lagi la.."

Intan mencebik. Tahulah Ismail tu bekas tukang masak tentera. Skill masaknya sudah terang-terang mengatasi skill Intan. Pinggan-pinggan pecah pun nak berkira! Nasib baik Ismail tidak membuka restoren atau kedai makan sebaliknya hanya membuka kedai dobi sahaja. Kalau tidak, tak tahulah.

Intan terus diam dan tidak lagi membalas kata-kata ayahnya seperti selalu. Ismail memandang sahaja tingkah anaknya yang sudah tidak berapa ceria. Dia tahu Intan sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Nasib baik ada Syikin yang tolong menyampaikan cerita. Sedikit sebanyak kisah Intan yang terserempak dengan Syafiq bersama wanita lain sampai ke telinganya.

"Err, Intan dengan Syafiq macam mana sekarang? Dah tiga bulan tunang. Nak tangguh lagi ke? Taknak ke arah yang lebih serius?"

"Tak tahulah ayah. Intan ni perempuan. Takkanlah Intan yang kena buat keputusan. Soalan tu ayah patut tanya pada Syafiq. Mana tahu, dalam tempoh tiga bulan ni, dia ada jumpa seseorang yang lebih bagus, lebih baik, lebih cantik, lebih seksi dari Intan. Ayah bukannya tak tahu macam mana kami boleh terbertunang. Sebelum ni kan kami tak pernah kenal pun.." kata Intan lebih kepada luahan perasaan.

Ismail mengangkat kening. Dipandang sahaja muka anaknya yang tengah serius menonton TV. Dia kena buat sesuatu. Dari Zulkifli, kawannya, Syafiq kat rumah pun dah lain macam. Zulkifli sendiri rasa seperti ada sesuatu yang terjadi pada mereka. Walaupun Ismail tahu pencetus kepada 'hal' tersebut dari Syikin, tidaklah dia khabarkan apa yang terjadi pada Zulkifli. Baginya, hal anak-anak, biarlah mereka yang selesaikan. Sebagai orang tua, dia akan membantu apa yang termampu sahaja.

"Ayah fikir esok malam kita ajak Syafiq sekeluarga datang makan rumah kita. Ayah nak masak special.."

"Nak ke dia datang, ayah?" tanya Intan prejudis. Sakit hatinya masih belum pulih selepas insiden hari tu. Apa yang lebih membuatkan dia marah pada diri sendirinya, Syafiq telah pun memilih Nadiah tanpa sempat dia mendapat penjelasan. Ahh, Nadiah tu.. Ish. Dulu elok-elok berkawan, kenapa tinggalkan?

"Kenapa pula dia tak datang? Kita belum pun ajak lagi.." balas Ismail.

Entah mengapa Intan rasa ayahnya berjenaka pula. Senang sahaja ketawanya meletus. "Yang nak masaknya ayah, kan? Kalau begitu, ayah ajalah yang ajak ye. Intan tolong buat air aje.."
gurau Intan dengan tawa yang masih bersisa.

Ismail tersengih. Syukur dia mendengar tawa Intan. Dia nekad. Apa nak jadi, jadilah. Malam esok adalah malam penentu.

4 comments:

zuezakry said...

o yeah. satu episod lagi nak habis. pantas!

miSz cHa said...

waaa cepat la:)
pastu leh buat cerita baru lagi :D

zawani mukhtar said...

meluat dkt syafiq ni, xkan la intan nk thegeh2 ngamuk pula, dia sndri la mau ingat, gedik nk kuar dgn ex die buat pe......

Kak Sue said...

x suka dengan perangai syafiq .... x tetap pendirian ... baru kena goda sikit dah cair...
Bagus juga Intan buat x tahu.... jagalah hati intan sikit.. ni x nak suruh intan yang ambil hati di... pi lah... apa kata buat Syafiq pulak nampak intan berjalan dengan org yag suka intan... biar dia tahu ingat dia seorang ja yang ada org suka... rasa geram ni....
cepat sambung.....