Sunday, September 4, 2011

C.I.C.I [8]

Intan & Syafiq: Pertemuan formal pertama

Intan mengacau air minuman sambil memandang jam tangan. Hampir jam 4 petang. Suasana di kiosk Bandar Bertam Perdana nampak sibuk dengan pelanggan yang nak minum petang. Hari ini, Intan akan bertemu Syafiq. Kedua-dua mereka dah sepakat untuk cari jalan penyelesaian.

Beberapa saat kemudian, kerusi di depan Intan ditarik seseorang.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam." Intan mengangkat muka. "Eh?"

Azmi senyum. Dah diagak riak terkejut Intan.

"Jangan risau. Kejap lagi Syafiq datang. Dia terus ke Petronas sekejap. Isi minyak kereta. Lepas tu dia akan datang sini. Dia nampak Intan sorang-sorang tadi, sebab tu dia turunkan saya dulu supaya temankan Intan." Jelas Azmi panjang lebar. Petronas terletak beberapa meter berdekatan dengan kiosk.

"Oh, macam tu. Nak order air dulu ke?" tanya Intan perlahan.

"Takpe, saya tunggu Syafiq sekejap." balas Azmi, tersenyum.

Intan meneliti wajah Azmi di hadapannya. Dia percaya Azmi ni lain sikit dari Syafiq. Azmi lebih bertimbang rasa. Dia ingat lagi masa Syafiq menyergahnya hari tu, Azmi yang bersungguh-sungguh minta maaf dari Intan. Kulit Azmi hitam manis. Wajahnya nampak manis dan lembut sahaja. Tapi bagi Intan, Azmi tak sekacak Syafiq. Syafiq tetap juara kalau dalam bab tu. Cuma perangainya aje sedikit sombong. Manalah perempuan suka kalau macam tu.


"Intan macam mana?" tanya Azmi sambil memandang Intan.

"Macam mana apa?"

"Pasal nilah.. Nikah kawen. Intan macam mana?"

Azmi lihat Intan berfikir. "Entah ye. Kena bincang dulu dengan Syafiq. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Saya dah susahkan dia. Kesian dia.."

Azmi menutup mulut menahan ketawa. Iye, kesianlah sangat pada Syafiq tu. Azmi berdehem. Dia diam seketika sambil meneliti wajah Intan. Baginya, Intan sangat sweet. Sesekali nampak garang juga. Hari ni, penampilan Intan tidak seperti yang dia jumpa di tempat letak kereta di Sunway dulu. Hari tu, Intan berpakaian kasual, dengan jeans, t-shirt lengan panjang berwarna hitam dan bertudung ringkas sahaja. Dulu juga, dia mengenakan cermin mata berbingkai hitam. Nampak seperti student yang tak matang. Tapi hari ni, Intan yang di depannya adalah seorang wanita yang sangat cantik. Nampak tegas, berani dan garang. Masa mula-mula dia sampai tadi, Intan tengah tengok jam dengan riak muka geram, agaknya. Erm, menarik. Mana-mana lelaki pasti tertarik dengan Intan. Tapi dia tak tahu 'penilaian' Syafiq macam mana..

Apa yang Azmi suka pasal Intan hari ni, Intan tidak kelam kabut pun seperti yang Syafiq ceritakan padanya. Dia biasa sahaja.

"Assalamualaikum. Maaf lambat." Syafiq menarik kerusi di sebelah Azmi.

"Waalaikummussalam." Serentak Azmi dan Intan menjawab.

"Mi, dah order minum?"

"Belum. Tunggu kau. Panggillah adik tu."

Syafiq memanggil pelayan lalu memesan teh o ais limau untuk dirinya dan Azmi. Dengan sopan, dia turut bertanya pada Intan kalau-kalau mahu memesan sesuatu. Intan hanya menggeleng kepala tanda dia tak mahu apa-apa. Selepas mengambil pesanan, pelayan tadi berlalu pergi.

"Kita minum dulu, baru bincang. Intan OK ke?" Syafiq berkata lembut memandang Intan di hadapan. Matanya tajam merenung Intan.

"Erm.." Intan hanya mengangguk. Tapi bagaimana pula dengan Azmi? Perlu ke dia ada di meja ni sekali. Tapi Intan tak tahu pula macam mana cara nak sampaikan ketidakselesaan tentang Azmi pada Syafiq. Yelah, inikan mengenai hal mereka berdua sahaja walaupun Azmi macam tahu sahaja masalah mereka. Tapi Intan tetap tak nak ada orang ketiga. Chewah, orang ketiga??

****

Azmi menjauhi mereka untuk menjawab panggilan telefon yang agak peribadi. Kesempatan ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Intan. Dia memaklumkan kepada Syafiq yang dia tidak selesa sekiranya Azmi ada bersama dalam perbincangan mereka. Syafiq pula mengangguk. Faham dengan situasi itu, dia bangun menuju ke arah Azmi yang sudah pun menamatkan perbualan telefon.

Intan nampak Syafiq menghulurkan kunci kereta kepada Azmi dan berkata sesuatu. Azmi mengangguk dan berlalu dari situ. Syafiq datang semula kepada Intan dan duduk di tempat asalnya tadi.

"Azmi?" tanya Intan.

"Jangan risau. Dia tahu agenda kita. Saya minta dia tunggu di rumah." jawab Syafiq.

"Rumah?"

"Rumah saya."

"Kat mana?"

"Tuu.. ketiga." Syafiq menunjuk ke satu arah. Dari situ memang kelihatan beberapa banglo di sebelah Penang Golf Resort. Uh? Itu rumah dia? Mak aih. Anak siapa dia ni? Tergamam betul dia di saat itu. Setiap kali melalui jalan di hadapan Penang Golf Resort tu, kagum sungguh dia dengan rumah-rumah di situ. Besar-besar dan cantik-cantik belaka. Tak sangka pula Syafiq tinggal di situ.

"So, Intan.. ada apa-apa nak cakap dulu ke?" tanya Syafiq sambil mencapai sehelai tisu daripada bekas. Dia mengelap bibirnya.

"Saya?" Intan mula gugup. Tak tahu bagaimana nak susun kata-kata. Dia tahu mereka kini bakal masuk ke fasa serius mengenai hubungan palsu yang direka. Intan diam agak lama juga. Dia betul-betul ketandusan kata-kata dan ayat yang baik.

Melihatkan kepegunan Intan, Syafiq bersuara. "Ok, kalau begitu, I cakap dulu.." bicara Syafiq dengan perlahan dan agak formal. Dah ditanam dalam hati supaya lidahnya hari ni tak mengeluarkan kata-kata yang boleh buat Intan marah. Kali ni, Syafiq cuba untuk layan Intan sepertimana dia layan kawan-kawan perempuannya yang lain. Kalau boleh, Syafiq mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Intan memandang Syafiq tenang. Memberi peluang kepada lelaki di hadapannya berkata-kata dulu. Sesaat dia rasa bersyukur sangat sebab tak perlu bagi kata putus. Biarlah Syafiq meluahkan segala-galanya. Barulah dia akan buat keputusan berdasarkan bicara Syafiq. Sekiranya hitam kata Syafiq, Intan akan pilih hitam juga.. Tak pun, biarlah kelabu sikit-sikit. Yang penting kali ni, dia takkan pentingkan diri sendiri lagi.

"Intan, sebelum tu.. I minta maaf, ok. Mula-mula I nak minta maaf sebab berkasar dengan Intan masa jumpa di shopping complex hari tu. I just.. erm.. ok, I admit kononnya nak balas dendam pada Intan sebab Intan dah cubit-cubit I masa tu. Umi pun tak pernah cubit macam tu tau.. Kemudian, walaupun I tak sengaja, I perlu juga minta maaf sebab dah terguna nama Intan untuk escape dari seseorang.. I betul-betul minta maaf atas salah silap I tu.." tutur Syafiq begitu lancar.

Bibir comel Intan sedikit lebar saat Syafiq menyatakan yang uminya tak pernah cubit dia. Uh, mesti anak manja ni. Intan selalu sahaja dapat cubitan dari ayahnya tak kira masa. Anak manja ayah juga, tapi ayah tak pernah pun tak cubit dia. Agaknya sebab tulah dia dapat habit macam tu. Tapi hati ni tiba-tiba rasa sesuatu pula bila dengar suara Syafiq yang garau tu. Walaupun begitu, Intan macam dapat rasa ada nada kelembutan di situ.

"Cakap pasal maaf ni.. saya pun nak minta maaf banyak-banyak pada En. Syafiq sebab kejadian hari tu." Intan cuba menyusun ayat. Perasaan ganjil yang bertandang di hatinya tadi diusir sedikit jauh. Dan, melihatkan gaya formal-tampan Syafiq hari ni dan ragu-ragu tentang status 'anak siapa' sebenarnya dia ni, Intan mengambil keputusan untuk memanggilnya Encik. "Saya betul-betul tak sengaja nak peluk atau cubit anak orang tak tentu pasal.. It just, En. Syafiq tak kenal saya lagi.. Dan lagi satu pasal termengaku En. Syafiq tunang saya. Saya minta maaf juga sebab saya pun masa tu nak escape dari En. Amri. Entahlah macam mana saya boleh buat macam tu. Terdesak sangat rasanya. Tapi mujurlah juga. Sekarang ni En. Amri tu kalau jumpa saya pun, dia dah layan saya macam pegawai lain juga. Dah takde feeling feeling macam selalu.. "cerita Intan. Matanya yang tadi memandang ke wajah Syafiq, kini dilarikan kepada straw di dalam gelas yang kosong.

"Oow really? Baguslah kalau macam tu. So, sekarang ni.. kita jumpa hari ni sebab nak bincang pasal kita yang dah 'terlanjur' ni.." dua jari telunjuk Syafiq yang lurus dibengkokkan sedikit semasa menyebut perkataan terlanjur tu. Dia tahu Intan faham maksudnya.

"Itulah pasalnya. Sekarang ni En. Syafiq, ayah saya tak nak dengar dah cakap saya. Dah banyak kali saya minta maaf pada ayah dan cuba terangkan hal sebenar, tapi ayah buat pekak aje. Ayah cuma bagitau, hari yang kita jumpa di bank tu, ayah dah bincang dengan abah En. Syafiq. Bincang apa, tak tahulah. Saya risau ayah bincang yang bukan-bukan aje."

"Bukan-bukan? Maksud Intan?"

"Iyelah, takut diorang tu pasang impian pasal 'majlis' kita tulah.." Intan meletup-letupkan jari tangannya.

Syafiq memandang sahaja kelakuan Intan yang dirasakan diluar kawalan itu. "Majlis kita? Erm, inilah Intan yang I nak bincangkan. I harap Intan taklah terkejut sangat bila dengar apa yang I nak cakap ni ye." Syafiq membetulkan posisi badan. Badannya dicondongkan sedikit ke arah Intan di hadapannya.

"En. Syafiq nak cakap apa?" Intan turut berbuat demikian. Lagak diorang ni macam nak bergosip aje.

Anak mata Intan dengan beraninya merenung anak mata Syafiq. Dan Intan tak tahu yang perbuatannya itu sedang 'menggoda' seseorang.

"I rasa.. I suka Intan." Perlahan. Jelas.

Kening Intan berkerut. "Semula En. Syafiq?" Dia bagaikan terdengar sesuatu seperti di dalam mimpinya malam tadi.

"Saya rasa saya semakin suka Intan." Masih perlahan tetapi sangat jelas.

"Eih?" Kenapa sama sungguh seperti mimpinya?

"Iye. Saya serius suka Intan!"

Keputusan hati Syafiq muktamad untuk hari itu. Dan bagi Intan, dia rasa sungguh mamai!

3 comments:

cactaceous opuntia said...

haha...nice2...berani syafiq ngaku eh..haha...berterus terang betul..intan xnk ckp ke...'sy pn dah mule suke en syafiq...'kehkehkeh...erkkk...syafiq yg kaya ke abh die yg kaye?

Miss Kira said...

nak lagi..hehehhe

Kak Sue said...

hahaha... so sweet Intan dan Syafiq ni....
Jangan Intan pengsan dah ....
Ok lah.... Sekurang-kurangnya Syafiq berani berterus terang tentang hatinya..... TERBAIKKKKK>>>>