Monday, February 6, 2012

JH 10

Dua kisah bakal aku coretkan dalam jurnal hati aku malam ni selepas seminggu kut aku tak tak tulis apa-apa.

Ok. Kisah pertama.

G.A.J.I!!

Cewah, gila tak suka bila dapat duit? Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya penat lelah aku selama sebulan akhirnya berbayar. Penat buat air, jadi typist, jadi SU, inilah habuannya. Macam biasa bila aku dapat duit, aku dah bahagikan kepada beberapa pecahan. 50% aku simpan. 50% lagi aku akan belanja apa yang patut. Yang penting kena belikan mug baru ganti mama datin punya.

Kemudian, kisah kedua.

Kisah ni aku tak tahulah nak klasifikasi sebagai kisah apa. Suka? Ke duka? Ke, terluka?
Huh. Yang penting ayat pertama aku nak tulis ialah:

Aku tak suka apa yang aku rasa sekarang.

Kenapa? Entah.

Hubungan Jiji dengan engineer cantik tu makin rapat aje aku tengok. Oh, lupa nak tulis nama sebenar engineer tu. Nama dia Suzana Sabrina. Panggil dia Su. Huh, aku dengar nama dia pun aku rasa macam dah kalah. Tu baru nama. Belum lagi nak dibandingkan aku ni tukang cuci, dia pulak jurutera muda. Haih, berganda la kekalahan kau, Aimy.

Tapi aku pun tak paham kenapa pulak aku kena dibandingkan dengan dia? Aku ni memang perasan gila! Jiji tu tak pernah-pernah pandang aku. Apahal pulak nak terasa dengan hubungan rapat diorang tu.

Tapi, aku pun sebenarnya tak faham juga dengan perangai Jiji. Sebab apa tau. Macam biasa, dia masih perlukan khidmat aku bila bab buatkan air. Kemudian, kalau dia stayback dengan Puan Suzie, awal-awal dia pesan kat aku supaya tolong diorang sekali. Apa lagi, jadi typist! Dan seperti selalu juga, aku jugaklah yang kena belikan lunch untuk dia.

Daripada ayat kat atas tu, aku rasa dia perlukan aku. Perasan. Tak kisahlah walaupun untuk kepentingan dia ke apa ke. Sekurang-kurangnya, ucapan penghargaan dari dia berupa 'thanks' tu buat hati aku sejuk.

Kemudian aku rasa macam dia ambil berat pasal aku. Uh, perasan lagi. Sebab pernah terjadi di satu hari. Cewah. Ini kira pengalaman yang aku takkan lupakan sampai bila-bila, selagi aku waras, selagi jurnal hati aku ni wujud.

Macam biasa dia perlukan air 'hikmat' dari tangan aku. Ceh, hikmat la sangat. Hari tu kesihatan aku tak berapa baik. Dah dua hari aku demam kut. Batuk selsema semua ada. Aku lalu depan bilik dia. Secara kebetulan pula, dia buka pintu. Terkaku aku sekejap pandang muka dia. Muka lawa, kan? Siapalah yang tak lalu nak tengok walaupun banyak 'penderaan manis' yang dia lakukan pada aku.

"Milo please.."

Aku angguk. Pada masa aku bersedia nak melangkah, Jiji panggil aku.

"Cik, kau okey ke tak? Apahal muka tu pucat semacam?" Jiji melangkah mendekati aku. Menilik muka aku yang tak berapa lawa ni.

Pada masa tu, memang aku tak larat sungguh nak jawab soalan dia. Semua tenaga aku dah kerahkan cuci dan bersih apa yang patut dari pukul 8 tadi lagi. Jadi bila jam dah tunjuk angka 11 ni, aku ingat nak berehat kejap. Makan sikit kemudian telan panadol. Tapi bila dia minta buatkan air, aku buatkan ajelah untuk dia dulu. Lepas tu, baru buat apa yang aku plan tu. Jadi, untuk menjawab pertanyaan dia tu, aku cuma senyum dan angguk sajalah, tanda aku okey. Dah tu, cepat-cepat aku pergi ke pantry.

Dekat pantry la segalanya bermula. Haha. Lawak gila. Eh tak. Aku sebenarnya malu gila bila ingatkan kisah tu. Tapi dah dalam jurnal punya pasal dan demi kenangan semata-mata, aku tulis jugaklah scene penting ni.

Sampai di pantry, aku cedok milo dan tuang susu dalam mug. Sejak dua hari lepas, dah tak ada lagi Milo 3 in 1 kat situ. Tak tahu la pulak polisi apa diorang ni. Melambatkan kerja aku aja. Pada masa aku nak angkat mug ke tempat air panas, tangan aku terlepaskan mug lalu pecah berderai kat lantai. Aduh, dan-dan tu pulak kepala aku berpusing ligat macam gasing. Dengan semangat yang tinggal berapa percent ni, gagah jugaklah aku tunduk nak mengutip deraian mug tadi.

Ouch! Berdarah jari aku terkena kaca. Dan sungguhlah aku tak perasan bila masa Jiji masuk pantry dan dah terduduk depan aku. Jari telunjuk aku yang berdarah tu, dia masukkan dalam mulut. Itulah scene yang takkan aku lupa! Malu, is it? Uh, tak ada maknanya!

Lepas tu aku tak tahulah apa yang jadi sebab scene last yang aku ingat, aku tutup mata dan badan aku dah rebah, entah landing kat mana.

Sedar-sedar, Puan Suzie tengah kipaskan aku.

"Kalau dah tahu tak sihat, kenapa datang kerja? Berehat sajalah kat rumah." Itulah suara yang mula-mula sekali masuk telinga aku.

Mendengarkan ayat tu, aku rasa dia menyampah dan tak suka pada aku. Kecik hati aku dengar ayat tu. Aku bangun dari ribaan Puan Suzie. Aku senyum dan ucapkan terima kasih pada Puan Suzie. Lepas tu aku terus berjalan menonong dan balik rumah. Fuh, gila selamba tukang cuci macam aku ni. Petang tu bila Tsu balik, aku bagitau Tsu supaya bagitau Pak Long yang aku half day pada hari tersebut. Terus aku MC dua hari. Tunggu dah betul-betul sembuh, barulah kerja macam biasa. Aku tak nak dengar sebarang bebelan dan kata-kata berbisa dari orang tu. Dia apa tahu hidup susah macam aku ni. Huh, suka hati aje nak membebel pada anak dara orang macam tu.

Dan hari ni. Jumpa di pejabat tadi, dia tanya aku lagi. Tapi ayat memang tak tahan.

"Jangan nak pengsan-pengsan pulak kat sini. Berat aku nak angkat kau. Kalau tak sihat, balik rumah berehat."

Sebelum dia cakap tu, aku baru nak 'on'kan vacuum cleaner. Aku nak bersihkan bilik Mr. Ong sempena dia keluar bermesyuarat, bolehlah aku buat 'bising' dengan bunyi vacuum cleaner tu. Tapi bila mendengarkan ayat yang agak berbisa tu, terus aku terlupa apa nak buat sebelum tu. Yang penting masa tu aku sedih gila. Aku rasa dia memang tak suka tengok muka aku lagi kat pejabat dia tu. Mesti dia rasa aku ni menyusahkan dia. Yelah, kan.. Pengsan tak bertempat. Tapi, tu bukannya aku sengaja. Manalah aku nak tahu yang aku akan pengsan pada masa tu, kan?

Tapi, apa-apa pun, "Encik, terima kasih sebab tolong saya." Itu sahajalah yang mampu aku ucapkan pada dia.

Bila dia berlalu dari bilik Mr. Ong, aku tutup pintu bilik tu rapat-rapat. 'On'kan vacuum cleaner dan buat kerja. Bukan setakat kaki dan tangan aku buat kerja, mata dan jantung aku turut 'buat kerja'. Habis sahaja kerja di tingkat 9, aku terus turun ke tingkat 7. Nak cari Makcik Mah yang dah lama tak jumpa. Nak tumpang manja jugak.

Eh, eh. Ni apasal pulak basah kertas jurnal aku?? La, mata aku tak habis-habis dengan 'kerja' dia. Sikit-sikit, hujan. Malas nak layan. Sebelum basah lencun jurnal hati yang aku sayang ni, baik aku off dulu untuk malam ni. Tsu di sebelah aku pula, sejak dua menjak ni, aku tengok dia tidur dengan senyuman aja. Luqmanul Hakim dah datang jumpa mama dan papa Tsu. Handsome nak mati! Tegap, tinggi. Memang cukup pakej dan padan dengan Tsu yang tinggi lampai cantik jelita tu.

Dah, dah. Cukup sampai sini!

Tapi sebelum tu aku nak tulis, memang aku tak suka dengan apa yang aku rasa sekarang.

Ada rasa sayang. Ada rasa benci. Dua-dua bergabung jadi satu.

Aimy, sedar sikit! Pipit takkan boleh terbang sama dengan enggang.

1 comment:

Anor said...

Kesian dgn Aimy ye... memanglah
pipit dng enggang tak boleh bersama
tapi semua itu adalah kehendak DIA
tiada siapa yg boleh menghalangkan?