Sunday, March 17, 2019

STUPIDO IMPIANA ~9~


Tengok tu, aku rasa nak melompat-lompat dah dalam kereta ni bila lalu di jalan kiri kanan ada sawah padi. Warna hijau dia cantik! Subhanallah, sawah padi dah boleh jadi crush aku juga ni.

Orang sebelah yang diam dari tadi tiba-tiba bersuara, “Tak payahlah nganga sangat. Kau tak pernah tengok sawah ke apa?” Lembut tapi ada nada perli sikit.

“Memanglah pernah tengok. Tapi sebab dah lama tak tengok, rindu!” aku jawab dengan teruja.

Rindu.

Ops. Emosi dan ekspresi aku semakin kendur. Tingkap kereta aku naikkan dan badan dah kembali bersandar pada kerusi. Masing-masing diam. Entah apa yang tak kena. Betullah aku rindukan sawah padi. Yang dia pun tiba-tiba ‘emotionless’ dah kenapa sampai buat aku rasa bersalah pula bagi perkataan tu tadi. Apa salahnya kalau aku rindu sawah padi? Ada kena-mengena dengan dia ke? Kami cuma sekadar kawan, betul?

Dia ni sungguhlah tak boleh dijangka.
Tiba-tiba dah jadi bukan seperti AM yang aku kenal.

Kami tiba di sebuah rumah. Halamannya luas dan redup dengan pokok-pokok yang besar. Ada sebuah pangkin juga di situ. Oh, ada buaian juga! Rumah siapa ni? Aku pandang dia dengan tanda tanya.

“Rumah mak dan ayah,” katanya menjawab soalan tanpa suara aku.

Kami berdiri di depan pintu rumah. Dia memberi salam dengan suara yang sedikit kuat. Selepas dua kali memberi salam, pintu rumah dibuka dengan jawapan salam dari orang rumah.

“Mak,” dia menyapa.

“Dah sampai?”

Aku hilang tindakan. Tak ada rasa nak hulur tangan untuk bersalam sebab sibuk fikir, macam pernah nampak perempuan ni.

“Hai, dah reti nak salam orang tua ke?” perlinya selepas menyiku lengan aku.

Tergugup aku dibuatnya. Bukanlah aku tak pandai hormat orang tua, tetapi fikiran tengah menerawang ke tempat dan situasi yang lain. Terus sahaja aku hulur tangan.

“Minta maaf. Assalamualaikum makcik. Saya Khadijah, kawan dia.”

“Panggil je Mak.”

Mak cuma senyum dan terus tarik aku ke dalam pelukannya. Err, gugup lagi. Janganlah Mak fikir yang bukan-bukan pasal kami. Kami memang tak ada apa-apa, ya Mak. Saya cuma kawan dia sahaja.

“Cantik orangnya,” puji Mak sambil pandang AM.

“Cantik tu sikit je Mak. Kerek dia yang banyak,” jawabnya bersahaja.

Dia terus buka kasut dan menapak ke dalam rumah. Aku masih cakap-cakap dengan Mak kat luar. Memuji betapa cantik kampung Mak, luas halaman rumah Mak, redup pokok-pokok Mak dan tak boleh tak dipuji adalah bunga-bunga Mak yang berwarna-warni dalam pasu.

“Sudahlah. Mari masuk dulu.”

Mak sudah berjalan dahulu masuk ke dalam. Aku baru nak buka sebelah kasut tanpa berpegang pada apa-apa, tiba-tiba sahaja ada seorang kanak-kanak datang berlari ke arahku. Ia mendepangkan tangan seakan-akan ingin memelukku.

“Adik, hati-hati!”

Aku hampir-hampir terduduk ke tanah sesudah menerima daya terjah dari adik yang aku tak kenal tadi. Mujur juga di belakang ada orang yang sambut. Nasib baik, Alhamdulillah. Yang penting adik tu pun selamat.  Kalau tak, ada drama air mata gamaknya. Dahlah aku ni jenis gagal bab memujuk. Ada pulak yang kata kerek cukup perasa.

“Hakeem! Mama dah pesan jangan lari-lari. Jalan. Kan dah langgar kakak. Say sorry.”

Bila badan kembali tegak, mata aku mencari tuan punya suara. Aku agak wanita kecil molek yang sedang peluk Hakeem tu mamanya. Senyum Khadijah, senyum bila Hakeem ucap maaf. Giliran aku pula nak berterima kasih pada orang yang sempat sambut aku dari cium tanah tadi.

Dia dah bergerak ke depan.

“Dengan budak pun boleh tumbang.”

Tak perlu ucap terima kasih. Dah kira baik aku tak ketuk kepala dia. Macam manalah aku tak kerek. Siapa sifu kerek aku selama ni?

No comments: