Entah kenapa serba tak
kena dibuatnya. Mata masih terbuka luas walaupun jam di dinding sudah
menunjukkan angka 2. 2 pagi Jah oi, tak mengantuk lagi ke?
Aku bingkas bangun. Tak
boleh jadi ni. Aku mundar-mandir di dalam bilik. Kalau boleh aku tak mahu
kenangkan lagi peristiwa lalu. Sangat menyakitkan hati dan memalukan diri
sendiri. Walaupun sekarang dah dicanang negara makin maju, tapi bila bab perigi
mencari timba masih relevan bagiku!
Tak mungkin telingaku
salah mendengar dan mentafsir getaran suara yang saban malam aku dengar selama
6 bulan walaupun perkara itu berlaku lima tahun yang lalu. Atau akukah yang
hanya bermimpi di siang hari?
Aku keluar dari bilik
lalu pintu bilik Rin aku ketuk. Terdengar suara Rin ketawa terbahak-bahak dari
dalam. Rin buka pintu biliknya yang terkunci.
“Kau gelak pagi-pagi buta ni kenapa?” tanyaku sambil
melangkah masuk.
“Aku bosan. Buka laptop,
layan Running Man sekejap. Kenapa kau tak tidur lagi? Tadi kata dah mengantuk?”
Rin tekan butang play di laptopnya.
“Tadi memang rasa
mengantuk. Mata aku yang tak nak pejam.”
“Kenapa?”
Aku jungkit bahu. Tak
sampai hati nak kacau Rin yang nampaknya dalam mood melayan Running Man. Aku
yang sedang bersandar di dinding kini menumpang baring di sebelah Rin; meniarap
bersama. Aku buat keputusan untuk sama-sama bergelak sakan dengan Rin melayan
Running Man.
Pasal suara yang
menghantuiku sejak dari tadi aku lupakan seketika. Esok-esok kalau teringat,
baru aku cerita pada Rin.
***
1 comment:
trimakasih infonya,,
sangat bermanfaat sekali,,
mantap,,,
Post a Comment