Hari minggu yang tak best bagi aku. Nak cuba resepi kek yang baru pun takde mood. Itulah kata orang, kerana pulut santan binasa. Kerana mulut, melepaslah nak menjalin hubungan.
Tak tidur malam aku dibuatnya. Lepas dia hantar aku balik semalam, dia takde call atau SMS pun. Semalam rasanya dia ada buat miscall jadi dia patut ada nombor telefon aku, kan?
Ke sebab memang dia tak ada nombor aku? Semalam dia yang savekan nombor dia dalam handphone aku. Jadi akulah yang kena call dia dulu? Haih, banyak cantik. Memang salah aku, tapi rasanya aku dah minta maaf.
Huh, membazir malam aku. Sepatutnya boleh tidur nyenyak kalau tak jumpa dia semalam.
Rin masih sibuk dengan baju-baju dan mesin basuh. Hari inilah baru dia nak uruskan pakaiannya. Aku melepak depan tv buat apa yang patut. Majalah lama-lama kat bawah meja tu, dah puas kena belek dengan aku. Punyalah bosan tahap apa entah.
Rin keluar dari dapur. Dia duduk kat lantai sambil badannya menyandar ke sofa tempat aku tengah baring-baring.
“Jah, apa cerita semalam?”
“Tak ada cerita.”
“Dia call tunang aku bagitau dia bawa kau balik rumah Mak dia.”
Aku cebik.
“Ceritalah.”
“Kau nak dengar cerita panjang ke cerita pendek?”
“Cerita panjang dulu kemudian cerita pendek.”
“Cerita pendek tu subset cerita panjang.”
“Kalau gitu, cerita panjang. Ha, ceritalah. Telinga aku dari semalam berdenyut-denyut. Dah tak sabar nak dengar cerita.”
“Ceritanya, aku tersangat-sangat menyesal kenal dengan dia. Paling menyesal, macam manalah boleh jadi crush yang melibatkan hati dan perasaan,” aku beremosi.
Aku diam sebelum pandang Rin. Tiba-tiba Rin bangun berlari ke dapur.
“Kau nak muntah ke Rin?” Aku dah ketawa terbahak-bahak.
Kalau korang nak tahu, Rin tu memang tak boleh dengar cerita-cerita jiwang macam ni. Dia memang cepat muntah. Muntah betul-betul, ya. Adoi Rin ni, macam manalah dia bercinta agaknya, ya? Musykil aku.
Tengahari tu Rin ajak aku keluar makan. Katanya dia nak belanja sebab dah susahkan aku semalam. Rin cakap, dia tak ada niat apa-apa untuk kecilkan hati dengan tinggalkan aku dengan AM tu. Dia ingat, manalah tahu aku ada benda nak setel dengan AM, sebab itulah dia setuju bila tunangnya ajak ke Bayan Lepas tu.
Sambil menyuap makanan, aku tanya Rin, “Macam mana tunang kau kenal dia eh?”
“Katanya AM kau tu senior dia zaman sekolah dulu.”
Aku mengangguk.
Senior tunang Rin.
Tua mana dia tu eh?
“Berapa umur tunang kau Rin?”
“Dia tua setahun dari kita.”
Aku menekan kalkulator dalam kepala. Kalau AM tu senior tunang Rin, maknanya umur dia tambah dua, tiga atau empat dari kami. Aku dan Rin dah 28. Tunang Rin 29. AM punya umur boleh jadi 30, 31, 32 atau 33.
Patut dah kahwin dia tu.
Dengan siapa-siapa,lah!
Bukan dengan aku.
***
Dari kedai makan, Rin angkut aku ke Sungai Petani pula. Dia nak ke Giant kemudian cadangnya nak singgah di kedai emas berhampiran dataran jam untuk tengok cincin. Aku rasa Rin ni macam nak kahwin dah. Cepatnya masa berlalu. Kalau Rin kahwin, aku kena pindah Pahang duduk dengan abang.
Semasa di Giant, Rin tawarkan diri untuk tolak troli. Huh, rasa bersalah tak habis lagi la tu. Selalunya akulah yang tukang tolak troli sebab dia ni jenis yang suka perhati setiap barang. Mengalah ajelah sebagai kawan baik. Pada masa Rin tolak troli ke bahagian barangan dapur, aku ambil peluang untuk belek tray, acuan dan lain-lain kelengkapan untuk buat kek dan biskut. Tengok-tengok apa yang ada, dan berapa harga. Tak ada keperluan untuk beli sekarang sebab masih bertatih. Jadi, guna ajelah apa yang ada kat rumah.
Aku tengah pegang senduk kayu waktu itu. Terasa ada yang mencuit bahu dari belakang. Aku buat tak tahu sebab ingatkan Rin nak ajak ke bahagian lain.
“Kau jalan dulu, nanti aku cari.”
Tak pandang belakang pun.
Saat bahu dicuit kali kedua, aku berpaling dengan ayat dah standby, “Nanti aku cari…. ”
“Rin dah ke sana,” jari telunjuk dia lurus menunjuk arah laluan Rin tadi.
Aku mengeluh.
Betul-betul hujung minggu yang tak best. Atau patut tak aku cakap, hujung minggu yang malang?
Aku gantungkan semula senduk kayu tadi. Terus takde mood nak survey-survey harga. Aku pusingkan badan lalu mengatur langkah untuk menjejak Rin. Dia tengah menelek sabun basuh. Aku sampai sebelah Rin lalu berbisik, “Kau ada janji dengan tunang kau nak jumpa kat sini?”
Rin pandang aku.
“Eh, dia dah naik flight la semalam.”
“Eh? Dah tu, kenapa dia ada kat sini?”
“Siapa?”
“Kawan tunang kau semalam.”
Rin dah pandang-pandang kiri kanan.
“Tak ada pun…”
“Kalau takde, Alhamdulillah. Aku tak nak jumpa dia. Jom, cari barang lagi.”
Rin diam. Muka dia terus berubah bila aku cakap macam tu.
“Jah, kau OK tak?”
Aku senyum. “OK. Cuma tak nak jumpa dia. Serik.”
Tiba-tiba Rin peluk aku.